13 April, 2018

Gelombang Biru di Pulau Pinang


Semalam setelah selesai urusan di Langkawi, saya terus ke Pulau Pinang untuk 2 majlis bersama rakyat di kawasan Balik Pulau, satu pada tengah hari dan satu lagi di sebelah malam.

Alhamdulillah, bukan cuaca sahaja yang hangat pada tengah hari itu, sambutan diberikan gelombang biru sewaktu ketibaan saya pun cukup hangat, begitu ramai menanti dalam khemah di SMK Seri Balik Pulau.

Di waktu malam pun tidak kurang meriah, dari yang kecil hinggalah golongan veteran bersama hadir majlis makan malam di SMK Teluk Kumbar.

Di kedua-dua majlis ini, di sepanjang perjalanan saya dari ruang masuk hinggalah ke pentas, di kiri dan kanan begitu ramai ingin bersalam, minta maaf tak sempat saya nak salam semua, bila salam di sebelah kiri, yang kanan terlepas, begitulah sebaliknya.

Walaupun begitu, ketahuilah sambutan yang diberikan ini amat saya hargai, dan pada pandangan saya memberikan gambaran sentimen di sini kini lebih memihak kepada Barisan Nasional.

Saya percaya penduduk Balik Pulau dan di Pulau Pinang secara keseluruhannya kini boleh membuat penilaian prestasi Kerajaan Negeri yang ditunjangi pembangkang, sama ada mereka mampu menunaikan janji atau sekadar menambah kepada permasalahan rakyat.

Saya ambil contoh, masalah banjir yang semakin buruk dan menjadi-jadi di Pulau Pinang. Di bawah pemerintahan pembangkang, hampir setiap tahun banjir, mengikut rekod, sejak 2013 hingga 2017 di bawah pembangkang, Pulau Pinang dilanda banjir 120 kali!

Malah di kawasan Balik Pulau ini pun, kalau dahulu jarang-jarang kita dengar Balik Pulau banjir – orang Pulau Pinang pun berseloroh kata kalau Balik Pulau banjir bermakna Georgetown dah tenggelam – kini selalu sangat dilanda banjir.

Kali terakhir, banjir besar pada November tahun lalu, saya datang melihat sendiri keadaan, dan atas dasar kemanusiaan dan kebertanggungjawaban sebagai pemimpin, saya umumkan 13 projek jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir ini dengan anggaran kos RM1 bilion.

Inilah Kerajaan Barisan Nasional di bawah saya, kita sentiasa mendahulukan rakyat, hulurkan bantuan tak kira sama ada di negeri pembangkang atau sekiranya masalah itu timbul akibat keculasan pemimpin pembangkang, kita cari cara untuk bantu.

Sepanjang lima tahun ini Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan dana RM4 bilion dalam pelbagai projek khusus kepada rakyat di Pulau Pinang.

Selain daripada itu, saya juga ambil maklum mengenai kadar surcaj air di Pulau Pinang yang semakin membebankan rakyat. Dalam beberapa tahun sahaja, 4 kali kadar ini dinaikkan! Manakala dari segi rumah mampu milik, 10 tahun pembangkang memerintah di Pulau Pinang, tak nampak rumah mampu milik dibina, yang banyak adalah rumah banglo mewah, ada yang ada kolam renang, ada yang tak ada.

Sebab itulah dalam Manifesto Barisan Nasional untuk Pulau Pinang, kita akan bina 65,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang dalam tempoh 5 tahun. Bukan itu sahaja, saya juga umumkan semalam bahawa sekiranya kita kembali memerintah Pulau Pinang, tol motosikal untuk kedua-dua Jambatan Pulau Pinang akan kita mansuhkan!

Barisan Nasional bukanlah parti untuk hari ini saja, tetapi juga untuk masa depan. Inilah sebabnya mengapa saya melancarkan TN50, kerana saya ingin menjaga rakyat Malaysia hari ini dan juga hari esok. Usahlah bermain politik keterlaluan seperti pembangkang, sehingga mengabaikan keperluan dan aspirasi generasi akan datang.

Dalam konteks TN50 untuk Pulau Pinang, antara yang menjadi tumpuan adalah supaya keadaan alam sekitar Pulau Pinang dipelihara lebih baik dan sempurna.

Malangnya, rekod Kerajaan Negeri dalam hal ini amat mengecewakan. Begitu banyak projek lereng bukit mereka luluskan, 39 projek antara 2008 hingga 2017, tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar dan rakyat tempatan. Pemaju dapat untung, rakyat yang menanggung.

Malah di Balik Pulau, pembangkang nak buat projek tebusan tanah, yang akan merosakkan mata pencarian nelayan. Inikah yang mereka katakan membela rakyat? Atau membela kepentingan sendiri dan menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja?

Masanya hampir tiba, dan saya percaya rakyat Pulau Pinang kini lebih sedar yang mana intan dan yang mana kaca.

Buatlah pilihan tepat, sama ada ingin terus dibebankan dengan kepimpinan yang tidak mampu memelihara kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, atau Bersama BN yang telah ternyata mempunyai rekod cemerlang membawa pembangunan dan menjaga keperluan rakyat segenap lapisan.

Dengan pilihan tepat, kita mampu bersama Hebatkan Negaraku!