4 Ogos, 2014

Glasgow 2014


Tragedi malang yang menimpa Penerbangan Malaysia Airlines MH17 telah menggemparkan bukan sahaja Malaysia malahan seluruh dunia. Walaupun begitu, saya amat berbesar hati melihat rakyat Malaysia dari setiap sudut bersatu bersolidariti bersama mangsa-mangsa MH17. Dan perpaduan ini terpampang jelas di mata dunia pada Kejohanan Sukan Komanwel yang baru sahaja berakhir di Glasgow.

Kita memulakan kempen Sukan Komanwel kali ini dalam suasana hening apabila Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang. Negara-negara Komanwel lain turut sama berkongsi kesedihan ini dengan bertafakur selama satu minit sewaktu acara pembukaan dilangsungkan.

Rakyat Malaysia telah bersama-sama bersepakat menyokong padu atlet-atlet kita, dan setiap kejayaan mereka mengukir sebutir senyuman di bibir semua. Semangat juang tinggi para atlet kita telah berjaya meraih 6 pingat emas – ehsan kudrat pengangkat berat Mohd Hafifi Mansor, jaguh skuasy dunia Datuk Nicol David, bakat tempatan dalam skuad campuran, beregu lelaki dan beregu wanita badminton Negara, serta penerjun yang makin meningkat naik namanya. Ooi Tze Liang.

Majlis Olimpik Malaysia telah meletakkan sasaran realistik pungutan 7 pingat emas untuk Glasgow 2014 dan kita berjaya meraih 6 pingat emas. Kita meletakkan sasaran ini kerana beberapa acara sukan yang telah memenangi pingat emas di New Delhi tidak dipertandingkan di Glasgow, dan kita juga tidak menyertai beberapa acara kali ini.

Untuk temasya di Glasgow kali ini, kontinjen Malaysia mempamerkan komitmen dan semangat yang tinggi. Saya mengucapkan syabas kepada semua atlet-atlet negara yang beraksi di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2014, terutamanya pemenang-pemenang pingat kita.

Selain daripada itu, kita harus mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperbaiki dan memperkukuhkan prestasi kita dalam bidang sukan, dan terus hidup berlandaskan prinsip budaya kecemerlangan. Saya percaya kita harus mensasar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam temasya-temasya yang akan datang. Oleh yang demikian, saya menyeru setiap rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang untuk terus berdiri kukuh di belakang atlet-atlet kita. Kita mampu bersama-sama berusaha lebih lagi untuk mencapai kejayaan lebih hebat pada masa hadapan.

Saya Team Malaysia!