5 November, 2016

Hasil Lawatan ke China


Lawatan rasmi saya ke negara China pada kali ke-3 sebagai Perdana Menteri ini telah membuahkan hasil.

Lawatan ini telah memperkukuhkan hubungan dua hala dari segi politik dan hubungan diplomatik dan juga keberhasilan dan pencapaian boleh dihitung (tangible results) yang merangkumi pelbagai perspektif. Dari segi perniagaan, sebanyak 14 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Perniagaan yang bernilai RM144 bilion telah dilakukan.

Sempena lawatan ini saya turut menyaksikan 16 perjanjian MoU Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China, serta berjumpa dengan 33 wakil dan captains of industry dari negara China. Kesemua mereka telah menzahirkan hasrat untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan mereka di Malaysia.

Namun begitu, kejayaan dalam bidang perniagaan bukan sahaja dalam bentuk MoU atau perjanjian, malah juga melibatkan beberapa projek yang boleh dikatakan ikonik yang memberi manfaat kepada pembangunan sosio ekonomi. Sebagai contoh, perjanjian untuk membina Landasan Kereta Api Pantai Timur ataupun East Coast Rail Line (ECRL) tentu sekali akan menjadi pemangkin transformasi untuk negeri-negeri pantai Timur di Semenanjung dan bakal merangsangkan lagi pertumbuhan sosio ekonomi, sejurus memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

ECRL bukan sahaja ‘projek mega’ atau untuk prestij semata-mata, ia juga sebuah projek yang boleh menambah sambungan, menguntungkan rakyat dan mempercepatkan aliran barangan serta perkhidmatan. Semua ini akan membawa kepada peningkatan ekonomi tempatan dan boleh dianggap sebahagian daripada inisiatif One Belt One Road (OBOR).

Lawatan ini juga tidak tertumpu kepada perniagaan besar sahaja, tetapi dalam apa jua juga yang kita lakukan, perhatian dan tumpuan diberikan kepada kepentingan rakyat ramai.

Dalam perbincangan saya dengan Presiden Xi Jinping, beliau telah memberi komitmen untuk membeli lebih banyak minyak sawit daripada Malaysia selepas saya memberitahunya bahawa terdapat seramai 500,000 pekebun kecil negara kita yang bergantung kepada hasil daripada penjualan minyak sawit sebagai sumber pendapatan.

Saya juga membawa hasrat supaya sarang burung mentah ataupun “raw and unclean bird’s nest” dibenarkan eksport ke China. Protokol telah ditandatangani, dan proses untuk perlaksanaan protokol telah saya minta agar dipercepatkan. Di Malaysia, kita mempunyai lebih kurang 10,000 petani yang terlibat dalam pengeksportan sarang burung ke China. Apabila ia menjadi kenyataan, dan kalau harga mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sekilogram berbanding dengan RM1,000 sekilogram sekarang, penambahan pendapatan mereka akan berlipat ganda.

Saya juga melihat lawatan ini dalam konteks “Comprehensive Strategic Partnership” yang melibatkan kerjasama dalam bidang pertahanan, termasuk pembelian 4 buah Littoral Mission Ships di mana 2 daripada 4 buah kapal tersebut akan dibina di Malaysia. Kerajaan China turut akan bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang membanteras keganasan, terutamanya dalam pengendalian “Regional Counter-Messaging Terrorism Centre”. Ini juga bererti kerjasama Malaysia dengan negara China akan meningkat secara lebih meluas dan komprehensif.

WhatsApp Image 2016-11-05 at 2.24.31 PM (1)

Dalam mesyuarat dua hala bersama Presiden Xi Jinping, kami turut membincangkan beberapa perkara penting termasuklah soal Laut China Selatan, di mana Presiden Xi dan saya bersetuju bahawa isu tuntutan ini adalah antara dua negara sahabat yang saling mempercayai antara satu sama lain.

Presiden Xi juga menzahirkan rasa senang hati beliau mengenai pembabitan syarikat Malaysia iaitu Genting Bhd sebagai pemaju tapak sukan Winter Olympics 2022 dan saya telah beri jaminan bahawa Genting Bhd akan melakukan yang terbaik agar temasya sukan ini dapat dijayakan dengan cemerlang.

Lawatan ini juga telah membuka peluang dalam bidang-bidang yang baharu, salah satu daripadanya ialah dalam bidang E-commerce dan Digital Economy. Untuk mencapai pertumbuhan dua digit, Malaysia perlu meningkatkan lagi penyertaan dalam sektor E-commerce dan Digital Economy tersebut. Saya telah bertemu dengan 3 syarikat terbesar iaitu Alibaba, Tencent dan Wanda dan ketiga-tiga syarikat tersebut menzahirkan hasrat mereka untuk menyertai pembangunan Digital Economy di Malaysia.

Tambahan, saya juga telah mengumumkan pelantikan Jack Ma sebagai penasihat kepada Kerajaan Malaysia dalam pembangunan Ekonomi Digital Malaysia. Jack Ma juga telah bersetuju untuk melawat Malaysia pada bulan Mac tahun depan untuk menghadiri Global Transformation Forum anjuran PEMANDU dan pelancaran e-Free Trade Zone sepertimana pengumuman saya dalam ucapan Bajet 2017.

WhatsApp Image 2016-11-05 at 2.24.31 PM

Mesyuarat dua hala serta makan malam yang dihoskan oleh Presiden Xi di rumah tetamu kerajaan Diaoyutai semalam berlangsung lebih daripada had waktu yang sepatutnya, satu lagi bukti hubungan dua hala yang kukuh dan intim antara Malaysia dan China.

Insya-Allah, hubungan baik Malaysia dan China akan membawa kebaikan kepada rakyat kedua-dua negara.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles