24 Mac, 2017

Islam: Pertemuan bersama Mufti Menk


“Kejayaan hanya tiba kepada mereka yang paling sabar.”

Dalam pertemuan saya dengan Mufti Ismail Menk di pejabat saya hari ini, kata-kata beliau di atas meninggalkan kesan mendalam kepada saya. Saya berbesar hati Mufti Menk sudi singgah bertemu saya, untuk berbincang mengenai Islam, ekstremisme, keadaan serta kebajikan orang Islam di serata dunia.

Dewasa ini, dunia semakin berpecah belah. Orang Islam, terutamanya di negara-negara Barat, terkesan angkara dasar imigresen yang mendiskriminasi mereka dan juga daripada Islamophobia. Mereka tidak lagi dialu-alukan di banyak negara, bahkan juga di tempat yang telah menjadi rumah mereka sekian lama.

Malangnya, tindakan beberapa pelampau, yang mempunyai pemahaman songsang mengenai ajaran Islam, membawa kesan yang lebih besar kepada kita, majoriti umat Islam. Sebagaimana Mufti Menk meletakkannya, unsur keharmonian kini terganggu.

Ini telah menyebabkan rasa takut terhadap umat Islam dan agama Islam. Malah, ada dalam kalangan ahli politik di Barat berjanji untuk menutup masjid-masjid dan seterusnya mendiskriminasi umat Islam jika mereka memegang jawatan satu hari nanti. Jika keadaan ini berterusan, saudara-saudara kita di luar negara akan dinafikan hak asasi untuk mengamalkan kepercayaan mereka, yakni Islam sebagai agama pilihan. Ancaman Islamophobia benar-benar berlaku.

Walaupun begitu, kita majoriti umat Islam perlu tabah dan cekal. Kita perlu terus membawa mesej keamanan dan toleransi. Kita tidak lagi boleh menjadi golongan majoriti senyap atau silent majority. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyanggah tafsiran melampau oleh golongan ekstremis mengenai Islam.

Sepertimana kata-kata Mufti Menk, “Dalam Islam, sekiranya seseorang melakukan suatu kesalahan, tidak bermakna kita harus membalas dalam cara salah yang serupa.”

Apabila Rasululullah SAW dikasari dan dibaling dengan batu ketika di Taif sehingga berdarah, Jibrail AS datang dan bertanya kepada Baginda, sama ada Baginda ingin dua gunung di Taif dihimpit dan memusnahkan mereka yang mencederakan Baginda. Rasulullah hanya menjawab, “Meskipun mereka ini tidak menerima Islam, aku berharap ada daripada keturunan mereka satu hari nanti yang akan beriman dengan Allah dan mentaati suruhan-Nya.” Masya-Allah.

Inilah satu sebab mengapa kata-kata Mufti Menk meninggalkan kesan mendalam kepada saya. “Kejayaan hanya tiba kepada mereka yang paling sabar.” Inilah pekerti dan cara Baginda Rasulullah SAW, dan harus menjadi pedoman buat umat Islam hari ini dalam mengharungi masa hadapan.

Alhamdulillah, sebagai sebuah negara, kita dirahmati dengan keamanan dan keharmonian, dan memetik kata-kata Mufti Menk, “Malaysia, Masya-Allah, sebuah negara yang indah. Rakyat berbilang agama hidup bersama dalam harmoni. Kita perlu terus berpegang teguh kepada perkara ini.” Terima kasih Mufti Menk atas pujian ini, dan saya nyatakan juga bahawa saya amat cintakan negara Malaysia. Negaraku Malaysia.

Namun, untuk kita dapat terus hidup dalam harmoni, kita harus terus menyampaikan mesej Islam yang sebenar – yakni, ia adalah agama kasih sayang yang cintakan keamanan.

Sebagai pemimpin negara berbilang agama, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan bahawa rakyat beragama lain boleh mengamalkan kepercayaan mereka. Oleh itu, kerajaan sentiasa memberikan bantuan kepada institusi agama melalui pembiayaan danperundangan yang adil untuk bukan sahaja masjid tetapi juga gereja-gereja dan kuil-kuil.

Perlembagaan Persekutuan menjamin hak semua untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Inilah Malaysia dan ia akan kekal tempat yang indah untuk generasi akan datang, Insya-Allah.

Sesungguhnya, pertemuan ini adalah pertemuan yang produktif, dan saya mengucapkan terima kasih kepada Mufti Menk untuk masa beliau dan kata-kata semangat yang beliau berikan.

Saya juga ingin menambah bahawa pertemuan kali ini juga diakhiri satu insiden yang menarik, di mana pembantu Mufti Menk ini (lelaki di sebelah kiri dalam gambar di atas) memberitahu saya bahawa dia warga Rohingya dan dia turut berada di pelepasan misi bantuan kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada kita rakyat Malaysia kerana membantu dan menjaga saudara-saudara Rohingya di sana, memperjuangkan nasib mereka.

Bagi saya, ia adalah perkara tepat untuk dilakukan, sepertimana firman Allah SWT dalam Al-Quran, “Barangsiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles