10 April, 2018

Kewajiban Pada Negara


Marilah mari, pergi mengundi
Tunaikanlah kewajiban pada negara

Alhamdulillah, satu lagi teka-teki berkaitan PRU-14 telah terjawab dengan pengumuman SPR mengenai tarikh-tarikh penting termasuk tarikh pencalonan dan hari mengundi sebentar tadi.

Sepertimana lirik pada lagu mengundi yang begitu popular, saya berharap dengan pengumuman hari ini, kita semua rakyat Malaysia akan dapat merancang jadual dan masa untuk turun mengundi pada 9 Mei 2018 ini.

Sesungguhnya mengundi adalah hak dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap seorang rakyat Malaysia. Setiap satu undi saudara dan saudari semua adalah penentu kepada masa depan negara dan generasi akan datang.

Sekiranya berkelapangan, saya menggalakkan semua bakal pengundi untuk membaca mengenai proses dan keperluan hari mengundi, seperti antaranya, apa yang perlu dibawa, apa yang boleh dan tak boleh dipakai dan apa berlaku selepas undi dimasukkan ke dalam peti.

Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai kesemua ini, boleh kunjungi laman UndiNegaraku yang memperincikan persiapan sebelum dan pada hari pilihan raya, selain turut menjawab banyak soalan lazim yang mungkin timbul berkaitan pilihan raya.

Pada masa sama, anda juga boleh terus mengikuti laman saya dan meneliti Manifesto Barisan Nasional yang telah saya bentangkan dan yang menjanjikan pelbagai perkara yang akan dilaksanakan untuk bukan sahaja meneruskan kesinambungan kejayaan negara tetapi juga menjamin masa depan Malaysia, Insya-Allah.