25 Mac, 2017

Kita di Landasan Tepat


Alhamdulillah, petang semalam saya berkesempatan untuk berjumpa dengan ketua-ketua industri serta persatuan-persatuan perniagaan untuk membincangkan isu-isu semasa yang ada kaitan dengan dasar-dasar kerajaan sama ada bagi jangka masa pendek atau jangka masa panjang ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050.

Kita berada di landasan yang tepat. Tahun lepas, kita telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2% di kala keadaan ekonomi global yang mencabar dan tidak menentu, dan tahun ini dijangkakan bahawa ekonomi kita akan berkembang 4.3% atau lebih.
Saya percaya bahawa tahun 2018 akan mencatat pertumbuhan yang lebih baik dan ekonomi kita akan bertambah kukuh.

Menurut Laporan Economist Intelligence Unit 2017 Worldwide Cost of Living, Kuala Lumpur adalah negara yang paling murah untuk diduduki di Asia Tenggara manakala Singapura adalah negara yang paling mahal untuk diduduki di dunia.

Baru-baru ini, dalam ucapan saya di Global Transformation Forum, saya juga telah berkongsi kejayaan Malaysia dalam mencipta 1.8 juta pekerjaan baharu, membina jalan yang jaraknya sama dengan jarak Malaysia ke Nepal dan mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.6%, selain pendapatan kasar negara yang turut telah meningkat hampir dua kali ganda.

Namun begitu, masih ada banyak lagi ruang penambahbaikan dan perlu diberi fokus seperti dalam perihal hutang isi rumah dan peningkatan hasil produktiviti negara.

Fokus juga harus diberikan kepada pembangunan sumber manusia, kesalinghubungan dan inklusiviti dalam merangka polisi dan dasar pembangunan negara bagi memastikan negara kita berjaya menjadi 20 negara teratas dunia.

Banyak input dan idea yang telah diketengahkan petang tadi. Antaranya, Datuk Wira Jalilah Baba yang mewakili Malaysian International Chamber of Commerce & Industry berpendapat bahawa TN50 harus direalisasikan dan sistem pendidikan kita mesti ditambah baik agar dapat menghasilkan pelajar yang lebih inovatif. Beliau juga berpendapat bahawa TVET adalah satu inisiatif kerajaan yang baik.

Selain itu, Datuk Aishah Ahmad mewakili Malaysian Automative Association menyuarakan pendapat beliau berkenaan pentingnya Malaysia mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi menarik pelabur asing.
Beliau juga telah mencadangkan penubuhan “Competitiveness Council”.

Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association juga telah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan elaun pelaburan semula.

Saya juga berasa gembira apabila mendapat maklum balas daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia bahawa anak-anak Melayu dan bumiputera telah mendapat manfaat daripada dasar “carve-out” bagi projek MRT dan Pan Borneo.

Saya juga diberitahu bahawa persepsi terhadap kontraktor bumiputera dan Melayu sudah semakin berubah apabila mereka dapat membuktikan bahawa mereka mampu “deliver”.

Saya bangga dengan anak bangsaku, Negaraku.

Tambahan kepada itu, inisiatif kerajaan dalam mewujudkan Digital Free Trade Zone turut diberi maklum balas yang baik dan positif.

Rata-rata, mereka menyatakan bahawa inisiatif ini akan membuka peluang luas serta menambahbaik hubungan perniagaan selain meningkatkan peluang pendapatan dan pekerjaan.

Saya juga ambil maklum bahawa terdapat pihak yang mahu kerajaan menimbang semula polisi berkenaan pekerja asing.

Berkenaan isu ini, kerajaan mengambil pendekatan yang mempertimbangkan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

Antaranya, jumlah kiriman wang pekerja asing ke luar negara kini telah mencecah RM36 bilion berbanding dahulu hanya RM30 bilion, dan jika perkara ini terus berlaku, banyak implikasinya terhadap negara kita.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus mengamalkan dasar mesra perniagaan dan seimbang untuk memastikan kepentingan semua pihak terpelihara.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan memberi input, sesungguhnya negara ini adalah milik kita, untuk dibangunkan bersama.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles