27 Mac, 2017

Konsep Kesederhanaan untuk Negara Kekal Aman dan Harmoni


YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Tenom, Datuk Raime Bin Unggi, berkenaan langkah-langkah mengamalkan konsep kesederhanaan untuk memastikan negara kekal aman dan harmoni bagi membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.– Admin

SOALAN

Apakah langkah-langkah Kerajaan mengamalkan konsep kesederhanaan untuk memastikan negara kekal aman dan harmoni bagi membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat?

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

Sebelum saya menjawab soalan ini, sukacita saya maklumkan pada pagi ini, Alhamdulillah, Kerajaan Malaysia telah berjaya membawa pulang 2 daripada 5 rakyat negara ini, iaitu Tayudin Anjut dan Abdul Rahim bin Summas, yang diculik selama 8 bulan 1 minggu oleh Kumpulan Abu Sayyaf.

Malah, mereka telah pun ditemukan dengan ahli keluarga masing-masing di kediaman saya. Apa yang penting, Kerajaan Malaysia akan terus membantu kedua-dua mangsa, baik dari segi rawatan mahupun kebajikan, untuk memastikan mereka kembali pulih seperti sediakala.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Kerajaan Filipina, Kerajaan Negeri Sabah, Wisma Putra, PDRM dan Kelab Putera 1Malaysia, di atas urusan membawa pulang mangsa-mangsa dengan selamatnya ke tanahair.

Tuan Yang Dipertua,

Sesungguhnya, Kerajaan Malaysia amat komited dan penuh iltizam dalam mengamalkan konsep kesederhanaan, yakni prinsip wasatiyyah, atau dikenali juga sebagai moderation, dalam sistem pentadbiran serta kepemimpinan di negara ini.

Sebenarnya, konsep wasatiyyah yang diamalkan ini adalah menepati prinsip maqasid syariah. Ia juga seiring dengan undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan, yang secara adil menyatakan bahawa, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Begitu juga dengan kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Malah, sejak saya memegang pimpinan sebagai Ketua Kerajaan, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang berlandaskan Dasar Transformasi Nasional. Ia bertali temali daripada dasar-dasar terdahulu di mana, amalan kesederhanaan ini, terus mendapat tempat di dalam kepimpinan Kerajaan.

Bahkan, kesungguhan Kerajaan ini jelas terbukti apabila mengangkat satu lagi dasar dalam falsafah negara, di mana Kabinet telah meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara atau DWN pada 21 Oktober 2016 yang lalu, direalisasikan sebagai Dasar Negara, untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian Negaraku, yakni tanahair kita yang tercinta.

Untuk makluman Ahli-ahli Dewan sekalian, terdapat 5 Objektif utama Dasar Wasatiyyah Negara diperkenalkan iaitu:

Pertama: Meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia terhadap pendekatan Wasatiyyah yang menjadi asas utama dalam setiap kehidupan.

Kedua: Penyelesaian kepada permasalahan masyarakat yang dibelenggu oleh isu-isu ekstremisme dan radikalisme yang melampau serta integriti.

Ketiga: Memperkukuhkan penghayatan Wasatiyyah bagi mewujudkan semangat toleransi rakyat Malaysia yang tinggi antara satu sama lain.

Keempat: Membangunkan bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai-nilai dan etika yang unggul berkonsepkan Wasatiyyah dalam segenap kehidupan.

Kelima: Menjadikan Wasatiyyah sebagai satu cara hidup rakyat Malaysia dalam segenap aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial, politik dan sebagainya.

Tuan Yang Dipertua,

Selain itu, Kerajaan telah berjaya menyediakan Pelan Strategik 5 tahun Pendekatan Wasatiyyah yang bermula dari tahun 2016 hingga 2020. Justeru, bagi merealisasikan pelan strategik ini, Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, telah dilantik sebagai agensi penyelaras untuk melaksanakan Pendekatan Wasatiyyah, yang berperanan sebagai pusat sehenti atau One Stop Centre.

Sememangnya wasatiyyah ini, yang berasaskan kepada prinsip Kesederhanaan, Keseimbangan, Kecemerlangan dan Keadilan, amat penting diamalkan, supaya setiap rakyat di negara ini, tidak terperangkap dengan fahaman mahupun ideologi yang terlalu ekstrem, tidak pula terlalu liberal, sehingga terjerumus ke kancah salah tafsirnya konsep jihad, sebagaimana ancaman IS serta DAESH.

Hasilnya, Malaysia telah diiktiraf dan dijadikan role model sebagai negara Islam contoh yang maju dan dinamik lagi progresif di seluruh dunia. Sehinggakan baru-baru ini, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci bagi umat Islam, yakni Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi, telah memuji Malaysia yang mengamalkan kesederhanaan dengan begitu berjaya sekali.

Tuan Yang Dipertua,

Jelasnya, melalui pewujudan DWN juga, di mana suatu Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Peringkat Kebangsaan, agensi dan negeri telah ditubuhkan, yang dipengerusikan oleh saya sendiri, Kerajaan yakin, akan dapat menyebarluas pendekatan ini kepada segenap lapisan masyarakat, demi menjamin kestabilan dan keutuhan Malaysia yang majmuk, menuju generasi TN50 pada zaman mendatang. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles