21 Disember, 2014

Lawatan ke Pekan 20 Disember 2014


PEKAN VISIT 3

Seringkali bila pulang ke Pekan saya akan melalui kawasan warung tepi jalan yang terkenal dengan Nasi Dagang Ubai. Semalam dalam perjalanan saya ke majlis bekhatan beramai-ramai peringkat Parlimen Pekan, saya sempat singgah untuk sarapan dan rasa sendiri Nasi Dagang Ubai tersebut, memang sedap! Saya turut ambil kesempatan untuk beramah mesra dengan para pengunjung kedai dan lawat gerai berhampiran.

PEKAN VISIT 4

Dalam ucapan saya merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai peringkat Parlimen Pekan, saya telah sampaikan saranan supaya teknologi berkhatan – seperti Sunatech yang dibangunkan oleh anak tempatan – dipasarkan ke peringkat antarabangsa kerana amalan berkhatan kini dapat sambutan di luar negara. Melalui teknologi maju kini seperti penggunaan laser, sakit berkhatan pun kurang. Malah, sekarang ada yang berkhatan, esoknya dah boleh pakai seluar pun! Kalau dulu seminggu kena berkain pelekat. Selain itu saya turut berbesar hati menyimbah air kepada lebih kurang 120 orang kanak-kanak sebagai pelengkap tradisi sebelum berkhatan.

PEKAN VISIT 5

Selepas selesai, saya singgah berjumpa rakan lama. Gembira dapat imbau kenangan lama dengan mantan ADUN Kuala Pahang, Datuk Dr Abdul Manaf Abdullah sewaktu saya singgah menziarah beliau. Walaupun kurang sihat, beliau masih cam suara saya. Seronok dapat jumpa.

PEKAN VISIT 1

Saya turut berkesempatan melawat dan meninjau kemudahan di pusat pemindahan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau yang menempatkan mangsa banjir dari kampung-kampung berdekatan Sungai Belat. Ada mangsa banjir di situ menceritakan kepada saya bagaimana mereka terpaksa harungi banjir sambil dukung anak lelaki yang baru berumur lapan bulan. Mujur semua selamat, Alhamdulillah. Walaupun mungkin keadaan banjir di Pahang sudah semakin baik, tetapi di beberapa kawasan lain di Malaysia masih belum surut. Saya akan terus doakan keselamatan semua, dan pada masa sama saya harap semua di kawasan banjir ambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa waspada.

Kredit Foto – BERNAMA

Shares Share Kategori : Blog, Komuniti