9 November, 2017

Peluang dan Kesan Bidang Ekonomi Digital Negara


YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Lenggong, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Bin Haji Nasarah, berkenaan peluang dan kesan bidang ekonomi digital. – Admin

SOALAN

Apakah peluang yang boleh diambil oleh usahawan di negara ini dalam bidang ekonomi digital dan kesan bidang baharu ini kepada pembangunan masyarakat setempat?

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

Ekonomi digital telah dikenalpasti sebagai salah satu enjin pertumbuhan yang dapat mengukuhkan ekonomi negara. Pada tahun 2016, menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 18.2% kepada KDNK Negara dan peratusan ini dijangka akan mencapai sasaran lebih 20% sebelum tahun 2020.

Sejajar dengan usaha membangunkan ekonomi digital ini, agensi di bawah KKMM iaitu MDEC telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya program eRezeki dan eUsahawan khususnya dalam merakyatkan ekonomi digital kepada golongan berpendapatan rendah, penduduk luar bandar, golongan belia dan usahawan kecil yang termasuk di bawah kumpulan B40 dan M40, dan juga termasuk golongan wanita, ibu tunggal dan suri rumah.

Program eUsahawan yang bertujuan untuk memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada usahawan belia dan usahawan mikro dalam menggunakan platform digital dan media sosial sebagai medium untuk menjana pendapatan dan meningkat jualan. Program ini disampaikan dalam bentuk kursus yang dijalankan di pusat-pusat Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) awam yang terpilih di seluruh negara. Bagi program eUsahawan, sejak Januari 2016 sehingga September 2017, sejumlah 92,926 usahawan muda dan desa telah mengikuti latihan dan kursus eUsahawan. Daripada jumlah ini, sebanyak 27,170 atau 29% daripada peserta telah mula melaporkan jualan tambahan keseluruhan yang berjumlah sebanyak lebih dari RM112 juta. Berdasarkan peserta yang telah melaporkan jualan tambahan, sebanyak lebih 59% adalah dari golongan wanita.

Di bawah program eRezeki pula, MDEC mempromosi penggunaan teknologi digital dengan mengupayakan rakyat untuk meraih peluang-peluang ekonomi melalui platform Crowdsourcing yang dibangunkan. Melalui kaedah digital ini, rakyat boleh mengakses pelbagai bentuk pekerjaan dan tugasan yang ditawarkan berdasarkan kemahiran, pengetahuan dan juga kebolehan individu tersebut. Bagi tempoh Januari 2016 hingga September 2017, sebanyak 101,693 individu telah dilatih melalui Pusat dan Wakil eRezeki di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 57,572 atau 57% telah berjaya menjana pendapatan dengan nilai terkumpul keseluruhan yang berjumlah sebanyak lebih RM81 juta.

Bagi mewujudkan minat dan kesedaran kepada golongan sasaran, MDEC turut melaksanakan program komunikasi ‘YouCanDuit’ dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang terlibat. Program dan aktiviti yang dilaksanakan termasuk seperti hebahan melalui radio dan TV, laman web, media sosial serta program turun padang dan bootcamp yang diadakan di seluruh negara

Dalam usaha menggalakkan usahawan dan syarikat PKS tempatan untuk meluaskan pasaran mereka ke tahap antarabangsa, Kerajaan telah mewujudkan inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital ( Digital Free Trade Zone – DFTZ ) bagi membantu PKS tempatan menembusi pasaran dunia melalui platform eDagang. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak lebih 60,000 menjelang tahun 2025. DFTZ turut dijangka akan menggandakan kadar pertumbuhan eksport barangan dan produk PKS kepada sebanyak USD38 bilion menjelang tahun 2025.

Alhamdulillah, inisiatif DFTZ fasa pertama telah berjaya dilancarkan pada 3 November 2017. Bagi pelaksanaan perintis, sebanyak lebih 1,500 syarikat PKS disasarkan, tetapi sehingga tarikh pelancaran tersebut, sebanyak 1,972 usahawan telah didaftarkan dan angka tersebut dijangka akan terus meningkat dengan mengambil kira potensi yang cukup besar bakal diperoleh oleh usahawan yang berpeluang memasarkan dan mengeksport produk dan perkhidmatan mereka melalui platform eDagang DFTZ.

Melalui segala perancangan dan prospek ini, Kerajaan yakin sumbangan ekonomi digital negara dijangka mencapai nilai sebanyak RM324.9 bilion pada tahun 2020, seperti yang telah disasarkan di bawah RMK-11.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles