26 Julai, 2017

Rumah Kebajikan Ti-Ratana, Kuala Lumpur


Buat kebajikan dan bantu orang susah tanpa mengira bangsa dan agama merupakan satu konsep universal yang saya percaya adalah asas kepada pendidikan sahsiah masyarakat kita sejak dahulu lagi.

Oleh itu jika kita terus ikhlas memperjuangkan nasib orang susah, saya yakin semangat kerjasama dalam membuat kebajikan itu boleh mewujudkan detik-detik perpaduan atau ‘moments of unity’ yang boleh mengukuhkan semangat perpaduan negara. Sama seperti aktiviti sukan, kita semua masih ingat akan detik-detik Datuk Lee Chong Wei hampir memenangi pingat emas di Olimpik Rio, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik bernaung di bawah panji Negaraku.

Hari ini juga merupakan satu hari yang istimewa kerana saya telah menyaksikan satu lagi detik perpaduan ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Rumah Kebajikan Ti-Ratana di Kuala Lumpur. Saya diberitahu bahawa masyarakat pelbagai kaum telah sama-sama menjayakan majlis tersebut yang mana sumbangan telah diberikan daripada pelbagai pihak contohnya khemah telah disumbangkan oleh orang Melayu, sistem audio disumbangkan oleh orang Cina dan orang India turut sama berganding bahu. Inilah bagi saya sifat 1Malaysia yang sebenar, membuat kebajikan ke arah membina Negaraku yang masyarakatnya penyayang dan prihatin.

Saya harap semangat kerjasama dan membuat kebajikan ini akan kita teruskan, dalam kehidupan seharian. Teruskanlah usaha-usaha mengukir senyuman di wajah-wajah mereka yang memerlukan, kerana ini adalah satu usaha yang sangat baik, murni dan sesungguhnya saya akan terus sokong inisiatif anda.

Sukacita juga saya umumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membina bangunan baru pusat jagaan warga emas Ti-Ratana tambahan kepada peruntukan yang diumumkan beberapa tahun dahulu.

Saya harap lebih ramai lagi pihak akan membantu menyumbang kepada projek membina Rumah Kebajikan Ti-Ratana ini kerana sumbangan anda akan membantu kebajikan 180 warga emas yang bakal ditempatkan di sana, Insya-Allah

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles