15 Mei, 2009

Danajamin Ditubuhkan Untuk Menyokong Syarikat Memperoleh Dana Dalam Pasaran Bon


DANAJAMIN DITUBUHKAN UNTUK MENYOKONG SYARIKAT MEMPEROLEH DANA DALAM PASARAN BON

 

Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat semasa Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pada 10 Mac 2009, Kerajaan ingin mengumumkan penubuhan sebuah institusi jaminan kewangan nasional yang akan memulakan operasinya pada hari ini. Institusi ini, yang dikenali sebagai Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), akan menyediakan penambahbaikan kredit bagi memudahkan syarikat-syarikat yang mempunyai penarafan perniagaan dan pelaburan yang berdaya maju mendapat akses yang lebih baik kepada pasaran bon Malaysia. Sebagai sebuah syarikat yang diberikan taraf AAA oleh RAM Services Berhad dan Malaysian Rating Corporation Berhad, Danajamin menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat memperoleh pendanaan pada kos yang berpatutan dalam pasaran bon.

 

  1. Penubuhan Danajamin menunjukkan bahawa Kerajaan komited untuk memastikan syarikat yang berdaya maju terus mendapat akses kepada dana pembiayaan. Danajamin dimiliki oleh Kerajaan dan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion. Modal berbayar ini akan ditambah kepada RM2 bilion jika diperlukan. Dengan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion, Danajamin dijangka berupaya mengunderait jaminan bon sehingga RM15 bilion.

 

  1. Danajamin ialah syarikat insurans berlesen yang ditubuhkan mengikut Akta Insurans 1996 dan tertakluk kepada pengawalseliaan Bank Negara Malaysia. Sebagai entiti berlesen yang menjalankan perniagaan insurans jaminan kewangan, Danajamin akan ditadbir mengikut tadbir urus korporat dan keperluan kehematan yang tinggi bagi memastikan operasi komersialnya akan berterusan untuk jangka masa sederhana dan panjang.  Pihak pengurusan Danajamin akan melapor terus kepada sebuah Lembaga Pengarah bebas yang terdiri terutamanya daripada kalangan profesional yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan. Dato’ Sri Abdul Hamidy Abdul Hafiz, yang mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor perbankan Malaysia, telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

 

  1. Danajamin memperlengkap pelbagai reformasi dan inisiatif yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan peranan pasaran bon dalam ekonomi negara. Kini, syarikat-syarikat memenuhi sebahagian besar daripada keperluan pembiayaan mereka melalui pasaran bon. Pasaran bon menyumbangkan 58% daripada jumlah keperluan pembiayaan, berbanding dengan 21% pada tahun 1998. Ini merupakan transformasi yang nyata sejak beberapa tahun dan merupakan perkembangan yang menggalakkan ke arah memperkukuh lagi peranan sektor kewangan dalam pembangunan ekonomi negara. Danajamin juga dijangka menjadikan pasaran bon lebih kukuh dan mantap untuk terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi negara.

 

  1. Maklumat lanjut mengenai kriteria untuk jaminan daripada Danajamin dan operasinya akan diumumkan oleh syarikat ini lewat hari ini.

 

 

 

Dato’ Sri Mohd Najib

Putrajaya

15 Mei 2009

Shares Share Kategori : Press Statement