2 Ogos, 2012

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2012 – Kementerian Kewangan


  • Mesyuarat Majlis Kewangan Negara ini diadakan selaras dengan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Mesyuarat pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara yang menyentuh kepentingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan enam (6) kertas telah dibincangkan.

 

  • Antara perkara yang telah dipersetujui ialah Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM287 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri pada tahun 2014 bagi membiayai caruman Pemberian Kepada Negeri-Negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun Mengurus sebanyak RM30 juta dan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup sebanyak RM257 juta.

 

  • Majlis Kewangan Negara juga mengambil maklum Laporan Audit ke atas Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) yang telah dijalankan oleh Kementerian Kewangan di semua negeri yang antara lain mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbetulkan dan ditambah baik demi keselamatan dan keselesaan pengguna. Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan yang besar kepada negeri-negeri dalam bentuk Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri. Bagi tahun 2011 jumlah Pemberian yang telah disalurkan berjumlah RM2,591.3 juta berbanding tahun 2006 berjumlah RM1,087.5 juta, iaitu peningkatan 138% atau secara purata bertambah pada kadar 27.6% setahun. Walaubagaimanapun, kebanyakan negeri tidak membelanjakan sepenuhnya peruntukan yang disediakan tersebut.  Oleh itu, keadaaan ini perlu diperbetulkan.

 

  • Mesyuarat telah bersetuju supaya digubal satu garis panduan komprehensif mengenai tatacara pengurusan dan pengunaan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri. Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri mengadakan sesi lab pada bulan Oktober 2012 bagi memuktamadkan garis panduan tersebut. Selepas ini mana-mana negeri yang gagal menguruskan pemberian ini dengan baik mungkin akan dikurangkan Pemberian tersebut.

 

  • Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa kedudukan pinjaman Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan telah menurun sebanyak 8.4% iaitu RM1.6 bilion daripada RM19.1 bilion pada tahun 2010 berbanding RM17.5 bilion pada tahun 2011. Jumlah bayaran balik pinjaman oleh Kerajaan Negeri juga bertambah baik iaitu berjumlah RM790.6 juta pada tahun 2011 berbanding RM434.1 juta pada tahun 2010. Sebahagian besar pengurangan pinjaman Kerajaan Negeri ini adalah disebabkan oleh pengambilalihan pinjaman oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang mana sehingga kini PAAB telah mengambilalih pinjaman projek bekalan air bagi lima (5) negeri yang berjumlah RM3,496.3 juta iaitu Pulau Pinang berjumlah RM655.2 juta, Perlis (RM75.1 juta), Negeri Sembilan (RM1,128.1 juta), Melaka (RM764.2 juta) dan  Johor (RM873.7 juta).
Shares Share Kategori : Press Statement