23 Julai, 2010
Pelantikan Anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
YAB. Perdana Menteri hari ini mengumumkan perlantikan Anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat seperi berikut:
1. YBhg. Dato’ Dr. Mahani Zainal Abidin
2. YBhg. Dato’ Khalid Ahmad
3. YBhg. Dato’ Siow Kim Lun
4. YBhg. Dato’ Dr. Irwan Siregar Abdullah
5. Prof. Dr. Ahmad Farhan Sadullah
6. Encik Himmat Singh Ralla Singh
7. Encik Wan Ahmad Shihab Ismail
Pelantikan yang berkuatkuasa 23 Julai, 2010 ini adalah untuk tempoh selama tiga tahun dan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 5, Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.
Anggota-anggota yang dilantik terdiri dari wakil-wakil sektor awam dan swasta dan pelantikan mereka adalah berdasarkan pengetahuan serta pengalaman dalam pelbagai bidang serta kemampuan mereka untuk memainkan peranan efektif dalam melaksanakan fungsi dan tugas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ke arah merealisasikan objektif penubuhannya.
Pelantikan ini menyusuli pengumuman pelantikan YB Tan Sri Datuk Seri Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar sebagai Pengerusi dan Encik Mohd Nur Ismal bin Mohamed Kamal selaku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya tersebut berkuatkuasa 3 Jun yang lalu.
Suruhanjaya yang terletak dibawah pemantauan YAB Perdana Menteri ini akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia di bawah pentadbiran satu badan induk, bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaannya dan pengangkutan awam di Sarawak dan Sabah di peringkat yang berikutnya.
Dengan pelantikan ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat diyakini akan dapat memainkan peranannya dalam usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam bagi kesenangan rakyat, iaitu salah satu bidang tumpuan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun lalu.