27 Mei, 2009

Penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negara


Pada 9hb April 2009 lalu, semasa mengumumkan pembentukan kabinet baru, saya ada menyatakan bahawa satu Majlis Penasihat Ekonomi Negara akan ditubuhkan, di mana ianya akan di ketuai oleh seorang pengerusi yang bertaraf menteri dan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar ekonomi dari dalam dan luar negara.

 

Sehubungan dengan ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan pelantikan Y. Bhg. Tan Sri Amirsham bin Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Pelantikan yang bertaraf menteri tetapi bukan ahli kabinet ini,  akan berkuat kuasa mulai 1 hb Jun 2009.

 

Majlis Penasihat Ekonomi Negara ini akan melapor terus kepada Perdana Menteri dan di antara bidang tugasnya ialah menasihati kerajaan di dalam membentuk satu model baru ekonomi negara yang berteraskan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. Ini adalah selaras dengan strategi untuk melonjakkan status ekonomi negara yang berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dan seterusnya ke arah status negara maju pada tahun 2020 nanti. Ahli-ahli lain bagi Majlis Penasihat Ekonomi Negara ini akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

 

  1. Bhg. Tan Sri Amirsham Abdul Aziz mempunyai pengalaman dan kepakaran yang meluas dalam aspek kewangan dan perancangan ekonomi. Beliau adalah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas Unit Perancang Ekonomi. Sebelum berkhidmat sebagai Menteri, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif  Maybank Berhad daripada tahun 1994 hingga 2008. Beliau telah berkhidmat di Maybank selama 31 tahun.

 

 

Dato’ Sri Mohd Najib

Putrajaya

 

27hb Mei 2009

Shares Share Kategori : Press Statement