13 Mac, 2013

Perlantikan Fasilitator


PERLANTIKAN FASILITATOR KUMPULAN KERJA BERSAMA

DIALOG PERDAMAIAN SELATAN THAI

(JOINT WORKING GROUP SOUTHERN THAI PEACE PROCESS; JWG-STPP)

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Y.A.B. Perdana Menteri telah bersetuju melantik Y. Bhg. Dato’ Seri Ahmad Zamzamin bin Hashim selaku Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi tujuan dialog perundingan di dalam Kumpulan Kerja Bersama Proses Perdamaian Selatan Thai (Joint Working Group Southern Thai Peace Process (JWG-STPP)) berkuatkuasa 1 Mac 2013. Dato’ Seri Ahmad Zamzamin, adalah mantan Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri dan kini ialah Naib Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

2. Peranan Malaysia selaku fasilitator telah dipersetujui secara bersama di dalam “General Consensus” yang telah ditandatangani oleh kedua belah pihak pada 28 Februari 2013 di Kuala Lumpur. Perlantikan Y. Bhg. Dato’ Seri Ahmad Zamzamin merupakan manifestasi kepada komitmen Kerajaan Malaysia untuk menyokong inisiatif dialog perdamaian di Selatan Thai.

3. Dalam hubungan ini, mesyuarat pertama JWG-STPP telah berjaya dilaksanakan pada 5 Mac 2013 di Kuala Lumpur. Mesyuarat ini telah membincangkan Terma Rujukan (Terms Of Reference) bagi tujuan pelaksanaan sesi dialog akan datang. Delegasi Kerajaan Thailand telah diketuai oleh Lt. Jen. Paradorn Pattanatabutr, Ketua Setiausaha, Majlis Keselamatan Negara Thailand manakala pihak Barisan Revolusi Nasional (BRN) diketuai oleh Uztaz Hassan Taib, Ketua Perwakilan BRN di Malaysia. Kedua-dua pihak telah bersetuju menerima perlantikan YBhg. Dato’ Seri Ahmad Zamzamin sebagai Fasilitator yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri

Putrajaya

13 Mac 2013

Shares Share Kategori : Press Statement