28 Mei, 2009

Unjuran Rasmi Kadar Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar Benar Malaysia Bagi Tahun 2009


“Unjuran Rasmi Kadar Pertumbuhan Keluaran

Dalam Negeri Kasar Benar Malaysia Bagi Tahun 2009”

 

 

 

Pada suku pertama 2009, Malaysia telah mengalami kemerosotan pertumbuhan ekonomi dengan mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar pada kadar negatif 6.2%. Ini merupakan pertumbuhan ekonomi negatif suku tahunan pertama yang dialami sejak suku ketiga 2001. Pertumbuhan negatif ini disebabkan terutamanya oleh kesan kelembapan ketara ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa yang telah menjejaskan permintaan eksport negara sejak separuh kedua 2008. Seterusnya perbelanjaan permintaan domestik, kecuali perbelanjaan awam, semakin merosot berikutan kelembapan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Dari sudut penawaran, hampir semua sektor ekonomi utama telah merosot kecuali sektor pembinaan yang telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek-projek pembangunan sektor awam.

 

Suasana ekonomi antarabangsa telah merosot lebih daripada apa yang dijangkakan dan memberi kesan yang lebih ketara kepada kegiatan ekonomi dalam negeri. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi dunia bagi tahun 2009 daripada positif 0.5% kepada negatif 1.3% pada bulan April 2009. Ini merupakan semakan kali ketiga berturut-turut sejak November 2008. Unjuran perdagangan antarabangsa juga disemak kepada paras yang lebih rendah iaitu daripada positif 2.1% kepada negatif 11%.
Selaras dengan perkembangan ini, Kerajaan telah menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan KDNK benar Malaysia bagi tahun 2009 daripada antara negatif 1% hingga positif 1% kepada negatif 4% hingga negatif 5%.

 

Menyedari situasi ekonomi yang semakin mencabar, Kerajaan terus komited untuk mengurangkan kesan kelembapan ini supaya ekonomi negara kembali cergas dan beransur pulih. Sehubungan ini, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua serta perbelanjaan peruntukan bajet tahunan dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara. Pada masa ini terdapat tanda-tanda awal pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi telah mula menunjukkan kesan positif. Ini turut disokong oleh harga komoditi dan pasaran saham yang semakin meningkat serta keyakinan pelabur yang semakin meningkat.  Dengan perkembangan ini adalah diharapkan ekonomi negara beransur pulih pada penghujung tahun ini.

 

Kerajaan juga sedang berusaha untuk memantapkan lagi daya tahan dan daya saing ekonomi negara dengan memastikan (i) peruntukan Kerajaan dibelanjakan mengikut jadual dan mengutamakan value-for-money; (ii) langkah liberalisasi diperhebat; (iii) pembangunan modal insan dipertingkatkan; (iv) akses kepada sumber kewangan diperluas dan dipermudahkan; serta (v) sistem penyampaian perkhidmatan awam dimantapkan lagi.

 

Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang getir ini, Kerajaan tetap memikul tanggungjawab bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan Rakyat didahulukan dan tidak diabaikan. Kerajaan akan mengutamakan pembangunan yang menyeluruh supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil kemakmuran negara.

 

Kerajaan juga akan terus berusaha melonjakkan ekonomi negara ke arah aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Untuk ini, satu model ekonomi yang baru sedang digubal. Ke arah ini, sektor-sektor berpotensi tinggi akan diberi tumpuan khusus yang berteraskan inovasi dan kreativiti serta berasaskan pengetahuan.

 

Dato’ Sri Mohd Najib

Perdana Menteri/Menteri Kewangan

Putrajaya 

 

 

28 Mei 2009

Shares Share Kategori : Press Statement