1 November, 2010

Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan 2010


1.       Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berkumpul pada petang ini sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan 2010.

Para hadirin yang dihormati,

2.       Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak jawatankuasa majlis kerana sudi menjemput saya untuk hadir ke majlis pada petang ini. Bertemakan “Inovasi Pemacu Transformasi” membawa maksud bahawa kita sentiasa komited untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti peningkatan produktiviti kerja serta bersedia untuk membuat pembaharuan dalam proses susun atur kerja bagi meningkatkan sistem penyampaian. Dengan lahirnya budaya inovasi, ia dapat meningkatkan lagi pembudayaan kreativiti, memupuk budaya kerja berpasukan dan pemuliharaan di kalangan individu terhadap aset organisasi, di samping mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti.

3.       Justeru, saya ingin menyeru semua warga Kementerian Kewangan untuk bersama-sama secara gigih dalam usaha transformasi negara melalui peningkatan produktiviti kerja. Kita seharusnya mengamalkan pemikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif. Saya tidak mahu lihat budaya “automation” menjadi satu hakikat dalam sektor awam, kita hendaklah sentiasa berfikir di luar kotak kebiasaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

4.       Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan 2010 telah diisi dengan pelbagai program berkaitan inovasi dengan penglibatan Jabatan-Jabatan dan Agensi-Agensi di bawah naungan Kementerian Kewangan. Saya berharap agar semua Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Kewangan mengambil inisiatif secara berterusan untuk membudayakan inovasi di dalam persekitaran kerja dan melakukan yang terbaik demi kecemerlangan organisasi masing-masing. Saya difahamkan, majlis ini juga dianjurkan bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada Jabatan, Agensi dan warga Kementerian Kewangan yang telah berjaya di dalam pertandingan Anugerah Inovasi Kementeian Kewangan yang telah diperkenalkan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

5.       Selari dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan harapan rakyat, Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) telah berlangsung baru-baru ini. Besar harapan saya untuk melihat keberkesanan satu mekanisme yang boleh menggalakkan setiap warga kementerian berkongsi idea-idea kreatif dan bernas bagi memudahkan tugasan seharian supaya lebih efisien dan efektif. Keadaan ini seharusnya memberikan impak yang positif kepada perkhidmatan kerajaan dan sekali gus membawa kepada kepuasan hati rakyat.

6.       Proses membudayakan inovasi bukan hanya memfokuskan kepada ruang yang sempit yang mana melibatkan penghasilan kerja semata-mata, malah ianya perlu dilihat dari pelbagai aspek kehidupan kerja seseorang penjawat awam. Kita perlu juga fokus kepada proses aturan kerja yang lengkap, persekitaran kerja yang selesa dan hubungan yang kukuh di antara rakan sekerja. Dengan membudayakan inovasi, saya amat yakin warga Kementerian Kewangan akan dapat meningkatkan lagi daya saing dan nilai tambah terhadap’outcome’ yang dihasilkan.

7. Akhir kata, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua warga Kementerian Kewangan terutamanya kepada Ahli Jawatankuasa Kualiti Kementerian Malaysia yang telah bersungguh-sungguh dalam merangka dan menganjurkan program-program berbentuk inovasi kepada seluruh warga Kementerian Kewangan. Dengan lafaz Bismilllahir rahmanir rahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan Tahun 2010.

Sekian sahaja, saya sudahi dengan terima kasih dan Wabillahitaufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam Sejahtera.

Shares Share Kategori : Speeches