1 Mei, 2013

Sambutan Hari Pekerja 2013


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah,  syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmatNya, dapat saya bercakap dengan pekerja-pekerja Malaysia sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2013.  Saban tahun kita meraikan sambutan hari ini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan para pekerja dalam  menjana kemajuan negara.
2. Sebagai pekerja Malaysia terdapat banyak sebab kita perlu bersyukur. Kita bersyukur kerana kadar pengganguran negara yang rendah iaitu hanya 3.3 peratus pada bulan Januari  2013. Kadar ini lebih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Sepanyol sebanyak 26.2 peratus, kawasan Euro atau Euro Area sebanyak 12 peratus, Perancis 10.7 peratus, Amerika Syarikat 7.9 peratus dan Australia 5.4 peratus.
3. Kita juga bersyukur dengan kos kehidupan yang terkawal seperti ditunjukkan oleh kenaikan angka tunjuk inflasi untuk bulan Januari tahun ini iaitu 1.3 peratus, bersyukur dengan peningkatan taraf hidup seperti yang dicerminkan oleh  kadar kemiskinan relatif yang menurun kepada 1.7 peratus dan pendapatan per-kapita yang meningkat kepada 9 700 Dolar Amerika pada tahun 2012.
4. Semua ini ialah hasil sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya dokongan serta sokongan lebih tiga belas juta tenaga pekerja Malaysia.
Pengiktirafan di Peringkat Antarabangsa
Pekerja Malaysia yang dikasihi,
5. Dengan rasa besar hati, saya memaklumkan bahawa Malaysia telah mengukir bintang di pentas antarabangsa melalui penerimaan pelbagai pengiktirafan. Bank Dunia dalam Laporan Ease of Doing Business 2013, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia daripada 185 buah negara yang dinilai. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia menduduki tangga pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit dan tempat keempat dari aspek pelindungan kepada pelabur.
6. Kejayaan dan pengiktirafan yang digapai pada hari ini tidak seharusnya membuat kita leka dibuai rasa selesa. Sebaliknya haruslah dijadikan inspirasi dan pencetus semangat untuk terus melaksanakan mandat pembangunan negara. Sebagai pemangkin transformasi negara, warga pekerja sektor awam dan swasta harus saling melengkapi dan mengembling tenaga memastikan kejayaan dan pengiktirafan yang diterima ini mampu dikekal serta ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia terus berdaya saing dalam pasaran global.
Guna Tenaga Berkemahiran Tinggi
Pekerja Malaysia yang dikasihi,
7. Dalam menuju status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020, negara memerlukan pekerja berkemahiran tinggi sebagai pemangkin transformasi negara. Pelaksanaan program transformasi ekonomi negara diunjurkan akan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru pada tahun 2020.
8. Bagi membantu pekerja Malaysia mendapat manfaat daripada penciptaan peluang pekerjaan baru yang majoritinya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi maka kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 3.7 billion ringgit melalui Bajet 2013 bertujuan melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.
Pemantapan Jaringan Keselamatan Sosial
Pekerja Malaysia yang dikasihi,
9. Aspek hak dan kebajikan warga pekerja terus menjadi keutamaan pihak Kerajaan. Hari ini kerajaan sedang dalam usaha usaha ke arah memodenkan perundangan berkaitan perburuhan  negara ke arah menjamin dan memantapkan jaringan keselamatan sosial warga pekerja.
10. Di bawah inisiatif ini, Kerajaan telah menambah baik dan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 untuk menaikkan syarat kelayakan umur Skim Pencen Ilat dari ‘belum mencapai umur 55 tahun’ kepada ‘belum mencapai umur 60 tahun’ agar selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012. Dalam masa yang sama, Kerajaan sedang menyemak semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Agensi Pekerjaan swasta 1981. Semua cadangan semakan semula ini dibincangkan di antara Kerajaan, pihak pekerja dan majikan dalam usaha mendapatkan persetujuan bersama berasaskan semangat tripartisme.
11. Penetapan kadar gaji minimum bagi sektor swasta yang telah saya umumkan pada  tahun 2012 telah melalui fasa penguatkuasaan  bermula 1 Januari 2013 bagi majikan menggaji 6 orang pekerja dan ke atas. Manakala penguatkuasaan bagi majikan yang menggaji 5 orang pekerja dan ke bawah akan bermula 1 Julai 2013. Pelaksanaan gaji minimum ini akan memberi manafaat kepada seramai 3.2 juta orang pekerja di seluruh negara. Dalam tempoh jangka panjang, penetapan kadar gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada transformasi ekonomi negara daripada berorientasikan buruh kepada berorientasikan modal serta menyumbang ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi di negara ini.
12. Selaras dengan peningkatan jangka hayat rakyat negara ini, Kerajaan telah meluluskan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 bagi sektor swasta pada 16 Ogos 2012. Penguatkuasaan Akta ini pada 1 Julai 2013 akan memberi faedah segera kepada kira-kira 30,000 orang pekerja swasta yang mencapai umur 55 tahun mulai tarikh tersebut. Dengan ini, mereka akan dapat terus berkhidmat sehingga mencapai umur 60 tahun dengan jaminan faedah pekerjaan sepertimana yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan sedia ada. Perlanjutan umur persaraan ini serta pelaksanaan kadar gaji minimum negara dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan pekerja di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup mereka selepas persaraan terpelihara.
Penutup
Pekerja Malaysia yang dikasihi,
13. Apa yang telah saya dan rakan-rakan lakukan demi untuk pekerja Malaysia  sepanjang empat tahun yang lalu hanyalah bayangan terhadap apa yang akan kami laksana dan usahakan untuk tempoh lima tahun akan datang. Peningkatan kebajikan serta kesejahteraan lebih tiga belas juta pekerja Malaysia akan tetap menjadi  pedoman kami dalam bergerak ke hadapan.
14.  InsyaAllah saya dan rakan-rakan dalam kerajaan hari ini jika diberi mandat yang kukuh dalam pilihanraya umum yang bakal berlangsung akan melipatgandakan lagi usaha kami untuk memastikan peningkatkan taraf hidup setiap pekerja Malaysia, memastikan pekerjaan bagi setiap warga Malaysia yang berkehendakkan kerja serta memastikan akses kepada pekerja Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dan dengan itu pendapatan mereka. Saya dan rakan-rakan akan memastikan bahawa khidmat bakti setiap pekerja Malaysia akan dihargai dengan menyediakan persekitaran terbaik untuk mereka dan keluarga mereka untuk membina kehidupan yang bahagia di bumi tercinta ini.
15. Kejayaan mengambil masa berdekad lamanya untuk dibina secara bertatih tetapi kemusnahan boleh berlaku dalam sekelip mata. Selama lebih lima dekad yang lalu, kejayaan kita ini bernama Malaysia, kita bina dan kita tatang dengan penuh kasih sayang  dan segala jerih payah. Jangan biarkan segala-galanya terungkai. Sokonglah sebuah kerajaan yang janji-janjinya  sentiasa ditepati dan wibawanya boleh dipercayai.
16. Akhir kata, Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pekerja Malaysia dan marilah kita sama-sama hayati tema sambutan Hari Pekerja tahun ini – “Pekerja Pemangkin Transformasi Negara”.
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Shares Share Kategori : Speeches