9 October, 2015

Kerajaan akan menubuhkan satu unit induk untuk mengurus sukarelawan dan bahan bantuan semasa bencana banjir


Header: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak mengumumkan penubuhan satu unit induk untuk mengurus sukarelawan dan bahan bantuan semasa bencana banjir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Setiap kali tibanya hujung tahun, beberapa tempat di negara kita, pastinya akan dilanda banjir.

Oleh itu, pada tahun ini, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah awal bagi menghadapi bencana banjir yang akan datang.

Pada bulan ini, Kerajaan akan mula membuat persiapan rapi, khususnya dari aspek logistik seperti komunikasi, pemindahan penempatan, penyimpanan bekalan makanan, pengurusan pegawai perubatan dan kerja-kerja pembersihan.

Saya juga ingin terus memberi galakan terhadap usaha murni rakyat Malaysia yang menyumbangkan bahan bantuan dan menjadi sukarelawan.

Namun, kita dapati, pada tahun-tahun lalu, terdapat situasi di mana bantuan tertumpu hanya di sebuah kawasan walaupun ada tempat lain yang lebih memerlukan.

Jadi, pada tahun ini, kita akan menubuhkan satu unit induk untuk mengurus sukarelawan dan bahan bantuan agar ia dapat disalurkan kepada mangsa banjir dengan lebih berkesan.

Insya-Allah, dengan usaha-usaha yang akan kita lakukan ini, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir pada tahun ini.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.