18 September, 2015

Kerajaan Tidak Akan Berkompromi Dengan Hal Keselamatan dan Tindakan-Tindakan Mengancam Sensitiviti Kaum Lain


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kerajaan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana bagi saya ia adalah penting untuk memberikan ruang kepada rakyat untuk bersuara.

Jika tidak diberikan ruang ini, mereka akan mencari jalan lain untuk menyuarakan pendapat mereka.

Namun begitu, perhimpunan Bersih telah diharamkan kerana objektif mereka adalah untuk menjatuhkan Kerajaan di samping berdemonstrasi berhampiran tempat persiapan perarakan Hari Kebangsaan.

Perhimpunan berkenaan, walau bagaimanapun, tetap diteruskan tanpa sekatan pihak berkuasa.

Pada masa yang sama, ada yang mempersoalkan keputusan pihak berkuasa membenarkan kumpulan “Baju Merah” berhimpun.

Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kebenaran diberikan kerana pertama, mereka tidak berniat menjatuhkan Kerajaan dan kedua, tiada persiapan perarakan berlangsung di tempat mereka mahu mendemonstrasi dan ketiga, mereka telah mendapat kebenaran DBKL.

Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan hal keselamatan dan tindakan-tindakan yang mengancam sensitiviti kaum lain.

Sebab itulah apabila mereka menceroboh kawasan larangan, pihak berkuasa telah bertindak menyuraikan mereka walaupun terpaksa menggunakan meriam air.

Polis juga sedang menyiasat mereka yang terlibat mencetuskan unsur perkauman dan sesiapa yang bersalah tetap akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.