17 July, 2014

Rombakan Kabinet dan Kedatangan Ramadhan 1435H


[soundcloud url=”https://api.soundcloud.com/tracks/157786847″ params=”color=0066cc” width=”100%” height=”166″ iframe=”true” /]

Siaran radio Perdana Menteri mengenai rombakan kabinet dan kedatangan Ramadhan 1435H
25 June 2014

Transkrip

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, dapat saya bersiaran terus kepada para pendengar di seluruh pelusuk negara melalui siaran radio ini yang saya kira merupakan antara saluran terbaik bagi saya selaku Perdana Menteri, berkomunikasi terus kepada rakyat bagi menyampaikan maklumat dan penerangan tentang isu-isu penting dari masa ke semasa.

Untuk siaran pertama ini, saya ingin menyentuh tentang dua perkara.

Pertama, ialah berkenaan penambahan ahli kabinet. Kita baru sahaja menyaksikan seramai tiga orang wakil daripada MCA dan Gerakan mengangkat sumpah dan mengambil tempat di dalam kabinet, manakala tiga lagi telah dilantik sebagai timbalan menteri.

Walaupun bilangan ahli kabinet bertambah, komposisi pasukan saya yang terbaru ini penting bagi mencerminkan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia dan bagi memastikan pandangan semua kaum terangkum dalam sebarang perbincangan dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kabinet akan mencerminkan permuafakatan nasional atau National Consensus.

Terdapat pihak yang mempersoalkan mengapa saya tidak melakukan rombakan kabinet secara menyeluruh. Sebagaimana saya jelaskan sewaktu mengumumkan pelantikan baru tempoh hari, hal ini adalah kerana para menteri yang sedia ada baru sahaja memegang jawatan selama lebih kurang setahun, dan pada pandangan saya mereka perlu diberikan masa dan peluang untuk menjalankan tugas dan program-program dengan berkesan.

Saya juga ingin tegaskan di sini bahawa saya sentiasa memantau prestasi menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri untuk memastikan barisan kepimpinan terus komited dalam melaksanakan agenda negara, akujanji kita kepada rakyat, dan apa sahaja yang kita lakukan mesti berteraskan kepada Dasar Transformasi Nasional.

Perkara yang kedua yang saya ingin sentuh ialah berkenaan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Ramadhan menuntut semua umat Islam untuk menambahkan ketakwaan, memperteguhkan keimanan dan mempertingkatkan kesabaran.

Marilah kita jadikan bulan yang mulia ini bulan untuk memperkuatkan silaturahim sesama kita dan mempereratkan semangat muhibah dan keharmonian antara semua kaum.

Utamakanlah sifat hormat-menghormati antara kita semua rakyat Malaysia dan bagi umat Islam, mudah-mudahan ibadat puasa kita semua pada tahun ini diberkati oleh Allah SWT Insya-Allah.

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa saya ucapkan kepada semua Muslimin dan Muslimat.

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

[soundcloud url=”https://api.soundcloud.com/tracks/157787022″ params=”color=0066cc” width=”100%” height=”166″ iframe=”true” /]

Siaran radio Perdana Menteri mengenai penubuhan pasukan petugas khas untuk menangani peningkatan kes denggi.
1 Julai 2014

Transkrip

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh salam sejahtera Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Mutakhir ini, ancaman denggi telah sampai ke satu tahap yang amat membimbangkan. Peningkatan kes denggi di Malaysia adalah satu perkara yang sangat serius.
Justeru, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu pasukan bertugas khas yang akan diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dengan tujuan supaya segala kekuatan dan kemampuan yang ada dalam pihak kerajaan akan digunakan untuk membendung kes-kes denggi.
Saya amat berharap bahawa semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya supaya kita anggap ini sebagai satu ancaman nasional yang serius yang perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak.