26 May, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Kebajikan Anggota Tentera


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pernahkah tuan-tuan dan puan-puan terfikir bagaimana setiap hari kita dapat menjalankan pekerjaan kita, beristirehat dengan keluarga dan menghantar anak-anak ke sekolah dengan selamat dan tenteram? Sedar atau tidak pada saat ini, anggota pertahanan kita sedang berada di persisiran pantai, di tempat-tempat awam, sedang mempertaruh nyawa menjaga keselamatan negara dari ancaman dalam dan luar.

Kerana inilah kerajaan mempunyai tanggungjawab kebajikan anggota-anggota tentera. Pada tahun 2016, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

Peruntukan tersebut merangkumi pencen, ganjaran, faedah perubatan, baik pulih dan bina rumah, pengurusan jenazah, skim bantuan kebajikan dan sebagainya.

Kerajaan juga ada menyediakan bantuan bencana alam dan bantuan kesihatan. Kedua-duanya sebanyak RM5,000 maksimum. Terdapat juga bantuan kemasukan anak ke universiti sebanyak RM1,000 bagi diploma serta RM1,500 bagi ijazah.

Bagi meringankan beban pesara tentera yang daif, uzur, hilang upaya atau mengidap penyakit kronik, mereka layak menerima bantuan kewangan RM300 sebulan melalui skim bantuan sara hidup.

Akhir kata, jasa dan pengorbanan pesara tentera tidak akan kita lupakan sampai bila-bila. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka. Oleh itu, saya menyarankan kepada rakyat Malaysia agar kita sama-sama menghargai pesara tentera dan menghormati mereka sebagai wira negara.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles