20 May, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Keusahawanan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Bidang keusahawanan merupakan sesuatu bidang yang sangat besar manfaatnya kerana potensi pendapatan yang biasanya berlipat ganda lebih besar daripada pekerjaan biasa.

Walaupun begitu, tidak ramai yang mempunyai keyakinan untuk menceburi bidang ini kerana bimbang akan risiko-risikonya. Selain itu, ada juga yang tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.

Kedua-dua faktor ini biasanya merupakan faktor utama yang menjadi penghalang kepada mereka yang pernah terfikir untuk menceburi bidang keusahawanan. Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan bagi menggalakkan orang ramai terutama sekali mereka yang dari golongan berpendapatan rendah bagi menceburi bidang keusahawanan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai modal, kerajaan menyediakan bantuan modal seperti dana yang dikendalikan oleh MARA, TEKUN, SUPERB, 1AZAM, PUNB dan lain-lain.

Dana-dana ini diberikan dalam bentuk geran, pinjaman berfaedah rendah, pinjaman dalam tempoh bayar balik selepas 2 tahun dan sebagainya. Ini semua merupakan dana yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengembangkan sumber pendapatan.

Bagi mereka yang bimbang terhadap risiko, pemberian dana-dana ini diiringi dengan latihan kemahiran. Sebenarnya, salah satu cara mengurangkan risiko perniagaan adalah dengan menimba ilmu pengetahuan. Lebih banyak pengetahuan kita dalam bidang keusahawanan dan juga pengurusan perniagaan, lebih rendah kebarangkalian kita untuk melakukan kesilapan.

Kesimpulannya, pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan demi kepentingan rakyat.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.