19 August, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Patrotisme


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Sekali lagi bulan kemerdekaan telah tiba. Banyaklah perbualan mengenai patriotisme. Saya ingin berkongsi tentang soal patriotisme dan apa sebenarnya makna di sebaliknya.

Semangat patriotisme sebenarnya bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu kenegaraan atau mengangkat ikrar taat setia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.

Patriotisme adalah lebih daripada itu dan mempunyai beberapa tingkat.

Peringkat pertama, patriotisme bermakna kita bersama-sama berganding bahu ke arah mencapai sebuah matlamat yang murni buat tanah air kita. Setiap perkara yang kita lakukan, pekerjaan kita usahakan, dengan niat untuk meningkatkan taraf hidup sesama kita boleh disifatkan sebagai semangat patriotisme.

Peringkat atau tahap kedua adalah usaha yang kita berikan secara ikhlas untuk membantu insan-insan yang lain. Saya berbangga ramai anak muda menceburi bidang sukarelawan melalui NGO-NGO bagi membantu golongan yang memerlukan.

Peringkat ketiga adalah usaha serta pengorbanan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan hatta pergorbanan nyawa sekalipun. Pengorbanan pasukan keselamatan kita yang berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa pada setiap masa dalam melindungi negara ini adalah tergolong dalam kategori ini.

Namun begitu, orang awam yang lain juga mempunyai tanggungjawab melindungi keharmonian masyarakat. Kita harus mengelakkan daripada berlakunya perselisihan, hentikan pergaduhan dan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman fitnah yang tersebar kerana ini semua akan merosakkan keharmonian negara.

Jadi, saya ingin bertanya, “Di mana peringkat kita?”

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.