Ucapan Perdana Menteri Mengenai Subsidi dan Insentif

By Friday February 17th, 2017 Audio, Featured Articles

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam negara membangun, subsidi dan insentif memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi rakyat dan negara. Namun secara asasnya, subsidi adalah untuk golongan yang memerlukan. Sebab itulah subsidi dan insentif hendaklah dibahagikan secara bersasar, bukan menyeluruh.

Pada tahun ini, kerajaan membelanjakan hampir RM10 bilion subsidi dan insentif dalam pelbagai sektor.

Dalam sektor pertanian sawah padi, kerajaan menyediakan RM1.3 bilion untuk menggalakkan pengeluaran hasil padi dan membantu para pesawah manakala untuk penoreh getah, kerajaan menyediakan RM510 juta subsidi dan insentif termasuk Bantuan Musim Tengkujuh.

Untuk para nelayan pula, kerajaan memperuntukkan RM260 juta sebagai elaun sara hidup. Bukan itu sahaja, kerajaan juga menanggung subsidi gas memasak sebanyak RM1.6 bilion untuk tahun ini dan subsidi bil elektrik sebanyak RM124 juta. Malah pada tahun ini, kerajaan menanggung pampasan tol supaya kenaikan harga tol dapat dielakkan. Ini semua dilakukan untuk menyenangkan rakyat dan mengembangkan ekonomi tempatan.

Akhir kata, tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan tidak prihatin dengan menghapuskan subsidi adalah tidak benar. Kerajaan masih menanggung subsidi setiap tahun, malah jumlahnya semakin meningkat mengikut harga pasaran dunia.

Namun apa yang penting ialah memastikan subsidi tersebut sampai kepada pihak yang memerlukan.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.