16 March, 2018

3 Aspek Pembangunan & Transformasi PU Sendayan


Setelah lawatan saya pada April tahun lalu untuk meninjau pembinaannya, saya gembira hari ini dapat sekali lagi ke sini, kali ini untuk merasmikan Pangkalan Udara Sendayan yang telah siap untuk digunakan.

PU Sendayan ini dibina pada kawasan seluas 303.5 hektar, dan menempatkan bukan sahaja fasiliti ketenteraan, tetapi juga 693 unit kediaman lengkap dengan kemudahan antaranya kompleks sukan dan pusat Islam.

Lebih daripada itu, pembinaan PU Sendayan ini juga membawa pembangunan dan transformasi dalam 3 aspek.

Pertama, ia membawa pembangunan menyeluruh kepada kawasan Sendayan, yang dahulunya merupakan kawasan Felda, penuh dengan kelapa sawit, tapi hari ini jadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

Insya-Allah, Bandar Sendayan ini akan pesat membangun dan penduduk di sini akan mendapat pelbagai kemudahan, dan permintaan untuk menjadi penghuni di sini pun akan bertambah tinggi!

Aspek kedua adalah transformasi kepada TUDM sendiri, di mana ia menjadi bukti bahawa Kerajaan bukan sahaja sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan mereka selama ini, tetapi juga mengotakan janji untuk terus memastikan kebajikan mereka terpelihara dengan kemudahan yang lebih sempurna dan kediaman yang lebih selesa.

Saya sendiri sempat berkunjung ke rumah Sarjan Fadzilah Haji Ahmad yang berasal dari Batu Pahat Johor. Alhamdulillah rumah di sini cukup luas dan selesa untuk beliau dan 4 orang anaknya.

Aspek ketiga pula adalah transformasi di mana Kerajaan boleh menggunakan PU Kuala Lumpur di Sungai Besi untuk dibangunkan semula sebagai Bandar Malaysia, sebuah projek ikonik yang bakal mengubah lanskap Kuala Lumpur dan Malaysia.

Tak lama lagi, Insya-Allah, di Bandar Malaysia ini akan terletaknya pangkalan untuk Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura, dan bermacam lagi pembangunan moden termasuk 2 stesen MRT yang sedang giat dibina.

Saya ingat lagi, tidak berapa lama dahulu, pihak pembangkang menyebarkan cerita palsu, kononnya anggota TUDM kita dihalau dari kem Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi.

Walhal pada hakikatnya, mereka dipindahkan kepada beberapa kem, salah satunya Pangkalan Udara Sendayan ini yang jauh lebih besar, moden, canggih dan selesa, sepertimana yang dapat kita lihat hari ini.

Jadi terbuktilah pembangkang ini hanya tahu menyebarkan fitnah dan berita palsu tanpa pedulikan kesannya kepada negara, bukan seperti Kerajaan yang berterusan memastikan kebajikan semua rakyat Malaysia terpelihara.

Insya-Allah, sepertimana yang telah kita buktikan dengan PU Sendayan ini, Kerajaan Barisan Nasional akan terus merencana untuk membawa lebih banyak lagi perubahan dan transformasi kepada semua, sama ada anggota tentera, penjawat awam, mahupun rakyat biasa, tiada sesiapa pun akan ketinggalan!