29 May, 2017

Amalan Sedekah dalam Ramadan


Kita sering diingatkan untuk bermuhasabah diri, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Ini penting bagi memastikan kita sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama insan.

Setiap kali bulan Ramadan tiba, sudah tentu ramai yang akan melipat gandakan amalan sedekah kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk makanan, pakaian atau wang bantuan, selain memanjatkan kesyukuran ke atas rahmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada kami semua.

Ada juga mereka dikalangan kita yang kurang bernasib baik. Oleh itu, marilah kita yang mampu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Kita berpegang teguh kepada jaminan ganjaran yang berlipat ganda yang diberi Allah SWT apabila bersedekah. Dalam dalam surah Al-Baqarah ayat 261, Allah SWT telah berfirman:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Saya harap dalam bulan Ramadan ini, kita sama-sama memperbanyakkan sedekah serta membantu mereka yang kurang bernasib baik. Sedekahlah setakat apa yang kita mampu, walau sekadar buah kurma. Pemberian kita mungkin tidak besar, tapi saya percaya amat bermakna buat penerima, memberikan mereka kegembiraan yang boleh dikongsi bersama keluarga dalam bulan yang dirahmati ini. Saya pasti ramai akan tersenyum melihat anak-anak kecil melompat kegembiraan apabila mereka mendapat sumbangan baju raya, saya tidak terkecuali. Kita juga digalakkan untuk bersedekah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 215:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah ayang akan mereka belanjakan (dan kepada asiapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan pmaka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

Amalan sedekah ini bukan sahaja digalakkan dalam Islam, tapi sangat saling berkait dengan adat kita sebagai orang Malaysia yang tidak lokek dengan memberi buah tangan atau bantuan kepada mereka yang memerlukan. Insya-Allah, usaha dan amalan kita akan terus diberkati Allah SWT.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles