11 March, 2016

Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan


Alhamdulillah, petang tadi saya berkesempatan melawat Asrama Darul Falah (ASDAF) di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, yang diurus dan disediakan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) untuk anak-anak Orang Asli dari kawasan pedalaman.

Usaha PERKIM melalui ASDAF ini bertujuan menyediakan pendidikan akademik rasmi kepada suku kaum Orang Asli dan menjaga kebajikan mereka secara berterusan. Kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana golongan masyarakat terpinggir dalam agenda pembangunan negara.

Hasil tinjauan dan perbincangan bersama pengetua asrama, Ustaz Zulyadain Mohd Radzi, saya mendapati bahawa keadaan asrama berada dalam suasana kurang memuaskan dan perlu ditambahbaik untuk 42 orang anak-anak yang mendiaminya.

Antaranya, katil, tilam dan bantal berada dalam keadaan uzur dan perlu diganti segera demi keselesaan anak-anak.

Keadaan surau, tangki air dan tandas juga memerlukan perhatian dan tindakan baikpulih akan segera diambil oleh sukarelawan-sukarelawan 1M4U.

Selain itu, 1M4U juga akan mengadakan kelas tambahan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Kelas IT dan peningkatan kemahiran vokasional akan turut dilaksanakan dengan kerjasama GIATMARA.

Projek pemulihan jangka masa panjang akan dilakukan supaya anak-anak ini mendapat tempat tinggal lebih baik agar mereka dapat belajar dalam keadaan yang lebih sempurna.

Insya-Allah, saya akan kembali melawat asrama ini semula bagi memastikan projek ini siap dilaksanakan.

darulfalah1

darulfalah2

darulfalah3

darulfalah4

darulfalah5