10 September, 2015

Bajet 2016: Keterbukaan Kerajaan Sejak 2009


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tidak lama lagi di bulan Oktober kelak, saya akan membentangkan Bajet 2016 yang merupakan bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Jika diimbas kembali pada tahun lepas, kita berdepan dengan cabaran yang menguji ketabahan dan keupayaan kita – musibah banjir, gempa bumi, tragedi penerbangan, pergolakan kuasa politik dan sebagainya.

Selain itu, kita juga berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat faktor-faktor di luar kawalan kita.

Hakikatnya, penurunan harga komoditi seperti minyak, minyak sawit dan getah secara mendadak telah menyebabkan kejatuhan ringgit, lebih-lebih lagi kerana Malaysia adalah pengeluar komoditi-komoditi berkenaan.

Saya tidak menafikan bahawa ini akan menjejaskan negara dan rakyat. Namun, harus dijelaskan bahawa kebanyakan negara serantau dan negara pengeluar komoditi turut sama mengalami cabaran ekonomi semasa.

Di sebalik semua ini, kita boleh berdebat panjang mengenai isu-isu ini tetapi yang perkara yang paling penting ialah bagaimana kita dapat mengemudikan bahtera Malaysia agar kita dapat mengharungi ombak dan tamparan ekonomi dunia ketika ini.

Melihat kembali, pada suku pertama kita mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% dan pada suku kedua pula sebanyak 4.9%.

Pertumbuhan kita tetap kukuh dan stabil malah mengatasi prestasi negara-negara lain seperti Indonesia, Korea, Singapura, Amerika dan UK.

Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini dan defisit fiskal sebanyak 3.2%, sekaligus meyakinkan pelabur dan agensi penarafan asing akan keupayaan kita dalam pengurusan ekonomi dan komitmen kepada sasaran yang ditetapkan.

Pencapaian hari ini yang kita lihat tidak berlaku sebegitu sahaja, sebaliknya, adalah kerana keterbukaan pentadbiran Kerajaan dalam penyediaan bajet-bajet tahunan.

Yang jelas di sini, penyediaan bajet kini tidak terhad kepada cadangan oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja malah setiap rakyat Malaysia juga diberikan peluang untuk bersama-sama membangunkan Malaysia.

Saya telah memulakan langkah ini pada tahun 2012 untuk menerima cadangan, pandangan dan kritikan membina daripada segenap lapisan masyarakat – tidak kira sama ada badan-badan bukan kerajaan, usahawan-usahawan, korporat, golongan belia dan professional, penduduk-penduduk luar bandar dan ramai lagi. Inisiatif ini telah diteruskan pada setiap tahun sejak 2012.

Sebagai contohnya pada tahun lepas bagi Bajet 2015, saudara Lim Boon Chon telah mencadangkan pengurangan cukai pendapatan individu, saudara Abdul Rahman Kamis telah mencadangkan pemberian diskaun 20% kepada peminjam PTPTN yang membuat penyelesaian secara sekaligus dan sebagainya. Cadangan-cadangan ini kemudiannya telah dipertimbangkan dan diumumkan dalam Bajet 2015.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya meneruskan amalan ini dan satu laman khas telah disediakan supaya semua rakyat Malaysia dapat memberikan cadangan dan membantu membentuk Bajet 2016 di https://najibrazak.com/bajet2016 .

Dalam Bajet 2016, saya juga akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang hasil tambahan GST dan bagaimana ia dibelanjakan.

Kemukakanlah sebanyak cadangan yang mungkin dalam laman mikro Bajet 2016 agar kita dapat bersama-sama membentuk masa depan Malaysia.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

AsZjLrAURkdrVVyW8baelI-Qc1MtAaVt5cDmuTqj7OTv

Shares Share Kategori : Bajet2016, Blog