26 April, 2016

Bersatu Untuk Kemajuan


Pagi semalam saya bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menunaikan solat hajat dan menyertai rombongan ke pusat penamaan calon untuk Pilihanraya Negeri Sarawak.

Kesemua calon Barisan Nasional yang dinamakan tiba bersatu sebagai sebuah pasukan, Team Barisan Nasional, Team Adenan. Sebaliknya, saya perhati di banyak kawasan, pembangkang bertanding sesama sendiri.

kemajuan1

Kita boleh lihat dengan terang ketidakstabilan dan tiadanya kesepakatan antara pembangkang. Untuk bertanding pun tidak dapat mencapai kata sepakat, apatah lagi untuk memimpin negeri dan negara. Ini belum lagi mengambil kira untuk membentuk kabinet, atau memutuskan siapa layak memimpin jawatan apa. Kucar-kacir negeri Sarawak nanti!

Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan mereka berterusan menabur fitnah jahat, menyerang keperibadian seseorang semata-mata kerana parti yang diwakili. Politik berteraskan fitnah dan adu domba ini memang telah sebati dengan mereka, dan langsung tiada tempat di dalam mana-mana pilihanraya.

Saya yakin rakyat Sarawak dapat melihat dengan jelas sandiwara dan topeng kepura-puraan yang dipakai oleh pembangkang ini, dan membuat keputusan sewajarnya apabila membuang undi.

Usahlah terpedaya, kita kekalkan kemajuan dan kesejahteraan Bumi Kenyalang, terus sejahtera dan membangun pesat bersama gelombang biru Barisan Nasional!

kemajuan2