26 May, 2017

Fasa Kedua TN50


Kita telah memasuki fasa kedua Dialog Transformasi Nasional 2050 atau TN50. Alhamdulillah petang tadi saya berkesempatan untuk bertemu dengan Kumpulan-Kumpulan Masa Depan TN50 yang terdiri daripada para belia Malaysia yang telah membuktikan ketokohan dan kewibawaan mereka dalam pelbagai sektor seperti golongan pelajar, usahawan, ahli akademik, aktivis masyarakat, penggiat seni, penjawat awam serta ahli korporat di samping mentor yang dilantik dari kalangan tokoh-tokoh korporat dan industri, ahli-ahli akademik dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan.Mereka ini bakal menganalisa, memperhalusi dan membincangkan lebih 33,000 aspirasi yang diterima dan hasil daripada proses Kumpulan ini nanti dijangka dapat dijadikan input kepada penggubalan dokumen visi dan dasar TN50 Kerajaan. Topik-topik utama yang menjadi tumpuan adalah Ekonomi dan Pekerjaan, Kehidupan dan Kesejahteraan, Tadbir Urus, Gaya Hidup, dan Masyarakat. Saya difahamkan bahawa lebih 1.2 juta belia telah didampingi melalui pelbagai saluran sejak 19 Januari lalu.

Sambutan yang menggalakkan ini ternyata membuktikan sokongan yang diberikan oleh para belia ke atas usaha kerajaan untuk memberi mereka suara dalam mencatur masa depan negara. Saya percaya pendekatan ‘bottom up’ yang digunakan kerajaan adalah pendekatan yang tepat dan inklusif.

Akar umbi akan diberi fokus, aspirasi mereka akan didengari dan difahami, tidak seperti kepimpinan terdahulu. Ini penting kerana merekalah yang akan terkesan dalam keputusan atau dasar yang digubal kerajaan.Saya gembira melihat apa yang bermula sebagai idea, sekarang telah menjadi satu national movement dalam kalangan belia. Sesungguhnya TN50 ini adalah milik anda, masa depan yang harus kerajaan bina untuk anda semua.

Adik Reese Matthew Kam yang berumur 10 tahun tadi turut menyampaikan aspirasi dia kepada saya di mana dia telah meminta agar keunikan Malaysia terus dipelihara dan dijaga. Inilah yang kita mahukan, penyertaan dari pelbagai lapisan umur dalam mencorak masa depan negara. Reese, percayalah bahawa kerajaan sudah tentunya akan memelihara keunikan tanah air ini, lebih-lebih lagi kepelbagaian masyarakatnya di bawah naungan 1Malaysia.

Saya berharap lebih ramai lagi orang muda mengambil bahagian dalam bicara dan dialog TN50 ini, bersama-samalah kita fikirkan hala tuju negara yang boleh membawa kita ke tahap yang lebih hebat. Janganlah memburukkan negara kerana sikap ini hanya akan merugikan anak cucu kita, mereka yang akan mewarisi negaraku ini. Ingatlah bahawa perjalanan anak cucu kita masih jauh.

Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak dan berkat Allah SWT, Malaysia akan berjaya untuk menjadi antara 20 negara teratas di dunia menjelang tahun 2050.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles