31 December, 2018

FELDA tidak bayar kepada peneroka


FELDA memang mengalami masalah aliran tunai yang teruk. Ekoran ini, bantuan sara hidup dan bayaran hasil sawit tidak dibayar oleh FELDA kepada peneroka untuk dua bulan yang lepas.

Satu soalan yang perlu ditanya peneroka kepada kerajaan PH ialah jika kelewatan bayaran kepada peneroka ini ialah akibat kesalahan kerajaan BN, mengapa FELDA di bawah kerajaan BN tidak pernah lewat berbulan-bulan untuk membayar sebelum PRU14?

Antara dua sebab utama yang saya percaya telah berlaku selepas PRU14 ialah:

1. Harga jualan minyak sawit mentah telah jatuh teruk selepas PRU14 di persekitaran RM1,700 sehingga RM2,000 satu tan – iaitu tidak jauh berbanding kos pengeluaran FELDA di persekitaran RM1,800 satu tan.

Ada juga FELDA rugi pada masa harga jualan di bawah RM1,800 seperti yang telah berlaku di awal bulan ini dan bulan lepas.

Oleh kerana FELDA ada kos operasi dan kos tetap, harga jualan minyak sawit merupakan sebab utama pengaliran wang tunai FELDA terjejas.

2. Bayaran balik hutang peneroka-peneroka kepada FELDA juga telah berkurangan disebabkan oleh janji manifesto PH (yang tidak ditunaikan) kononnya akan menghapuskan hutang FELDA (kalau janji nak mansuh, siapa nak bayar lagi?) dan harga buah tandan segar yang sangat rendah selepas PRU14 telah memberi kesan kepada kemampuan peneroka untuk membayar balik hutang.

Itulah dua sebab utama masalah aliran tunai FELDA yang telah berterusan untuk 8 bulan yang lepas ini.

Tetapi, kerajaan PH tentu sekali akan memilih jalan paling mudah iaitu dengan menyalahkan kelewatan pembayaran dan krisis aliran tunai terhadap kerajaan BN sebelum ini dengan tuduhan-tuduhan hutang FELDA terlalu besar ataupun penyelewengan berskala besar telah berlaku – sedangkan masalah sebenar kini ialah apa yang saya telah beri di atas.

Perlu juga diingatkan bahawa bahagian besar hutang FELDA kini terdiri daripada hutang peneroka-peneroka kepada FELDA untuk penanaman semula dan untuk perumahan FELDA.

Laporan audit Jabatan Audit Negara yang telah diterbit beberapa minggu dahulu, menunjukkan ringkasan untuk prestasi agensi-agensi utama milik kerajaan termasuk untuk FELDA.

Ia jelas menunjukkan bahawa pendapatan janaan sendiri (operating profit) untuk FELDA telah meningkat 52.6% untuk tahun 2017 kepada RM1.7 bilion berbanding 2016 ketika harga minyak sawit tinggi.

Apapun, saya sangat bersimpati dengan nasib peneroka ini dan kerajaan PH perlu berhenti dengan polemik politik dan bekerja seperti sebuah kerajaan.