10 February, 2016

Fokus Kepada Rakyat


Dalam setahun dua ini, saya telah merasmikan banyak majlis serta membuat lawatan kerja di sekitar negara.

Alhamdulillah, saya nampak rakyat menerima baik pendekatan sebegini agar masalah mereka mendapat perhatian dan penyelesaian secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara yang saya yakin kita boleh lakukan dengan lebih baik lagi berkaitan dengan lawatan kerja serta majlis rasmi yang saya hadiri.

Pada 6 Januari yang lalu, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pertama bagi tahun 2016, saya telah mengingatkan Kabinet dan kementerian-kementerian untuk membelanjakan peruntukan yang diberi secara berhemah.

Ingin saya tambah bahawa ini merangkumi perbelanjaan yang digunakan ketika sambutan lawatan kerja serta majlis rasmi bersama saya atau menteri-menteri lain. Berdasarkan pemerhatian saya melalui lawatan-lawatan kerja yang saya lakukan baru-baru ini, saya dapat lihat masih ada perbelanjaan yang boleh kita kurang atau elakkan.

Saya berterima kasih untuk segala persiapan menyambut kehadiran saya. Saya faham sekiranya ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya. Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol.

Setiap lawatan kerja yang saya lakukan, adalah untuk bersama dengan rakyat, mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.