Fotografi, Media Sosial & Negaraku

By Thursday May 18th, 2017 Blog, Featured Articles

Saya berpeluang petang semalam untuk bertemu dengan ramai jurugambar dan penggiat media sosial atau Instafamous untuk sesi sembang santai di Cartel Coffee Shop, Bangi.

Nasrul Faiz @Faizdickie, Kamarulzaman Ali @z.own, Hishammudin Hashim @tkdnxv, Shafiq Saleh @shafiqanaksaleh, Adly Aizad @adlyaizad, dan Taufiq Nadzri @taufiqnadzri ini semua muda-muda belaka, tetapi mempunyai pengaruh besar di media sosial, terutamanya di Instagram. Kalau digabungkan antara kesemua mereka, pengaruh atau reach mereka hampir 900 ribu orang!

Mereka berkongsi dengan saya pengalaman, cabaran dan aspirasi sebagai penggiat media sosial, dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada #Negaraku melalui medium dan cara mereka sendiri.

Contohnya, melalui fotografi dan Instagram, mereka boleh mengetengahkan lokasi dan pemandangan menarik tempat-tempat yang jarang dikunjungi di sekitar pelusuk negara, seperti di Pantai Tusan di Miri, Pantai Bachok di Kelantan dan banyak lagi.

Ramai yang komen di foto-foto tersebut mengatakan bahawa mereka menyangkakan foto ini diambil di tempat eksotik luar negara seperti New Zealand atau Korea Selatan, dan terkejut mengetahui bahawa ia sebenarnya di Malaysia!

Memang banyak lokasi dan tempat menarik dalam negara kita yang masih belum diterokai sepenuhnya, dan melalui foto-foto daripada para penggiat media sosial ini, dapat membantu menaikkan populariti serta meningkatkan pendapatan industri pelancongan tempatan.

Mereka juga turut berkongsi dengan saya foto yang telah mereka ambil, yang mencerminkan #Negaraku dari sudut pandangan mereka. Memang menarik dan cantik foto-foto tersebut, seperti foto anak orang asli, pemandangan ibu kota di waktu malam, pameran LiMA dan banyak lagi.

Selain itu, mereka juga meluahkan cabaran yang mereka hadapi, terutamanya dari segi mentaliti dan penerimaan industri terhadap penggiat media sosial. Masih terdapat stigma bahawa mereka ini berada di tahap rendah berbanding media arus perdana, atau second grade version of media.

Saya tekankan kepada mereka bahawa ini tidak benar sama sekali. Malah sebaliknya, bagi saya mereka ini lebih berpengaruh berbanding media arus perdana.

Banyak agensi dan pengamal media kini masih berada di takuk lama, tidak menyedari kepentingan media digital sebagai medium paling berkesan untuk capaian selain mengembangkan pengaruh di era teknologi yang berkembang pesat kini.

Bercakap mengenai teknologi, terutama yang berkait dengan dunia fotografi, mereka berkongsi dengan saya gajet dan peralatan yang mereka gunakan untuk berkarya. Ada yang menggunakan kamera Fujifilm, ada yang guna Canon, Nikon dan bermacam jenama lagi.

Tetapi yang lebih menarik perhatian saya adalah betapa teknologi kamera di telefon bimbit atau mobile photography telah berkembang begitu pesat, sehingga ada yang boleh dikatakan boleh menyaingi, atau lebih hebat lagi daripada kamera DSLR seperti Huawei yang menggunakan teknologi Leica dan sebagainya. Tidak mustahil di masa depan, mobile phone boleh menggantikan kamera DSLR sebagai gajet pilihan utama jurugambar profesional.

Ini satu lagi bukti bahawa teknologi adalah sesuatu yang berkembang begitu pantas, dan sekiranya kita alpa, kita akan jauh ketinggalan. Hari ini misalnya, pembangunan sumber manusia perlu memikirkan bagaimana untuk menyediakan modal insan bagi pekerjaan yang masih belum wujud kini, tetapi bakal menjadi pekerjaan penting di masa hadapan.

Mereka ini bagi saya adalah perintis atau pioneers, yang akan membuka jalan kepada lebih ramai lagi anak-anak muda yang berminat dengan dunia kreatif seperti fotografi dan videografi untuk memanfaatkan teknologi yang ada bagi menyerlahkan kreativiti mereka.

Secara tuntasnya, saya gembira dapat berkongsi pandangan dan bertukar pendapat bersama anak-anak muda penggiat media sosial ini.

Insya-Allah, saya percaya dengan kegigihan, semangat dan bakat yang mereka ada, mereka mampu berkembang lebih maju dan membuka banyak peluang, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi juga untuk generasi hadapan dan untuk #Negaraku, Malaysia.