31 July, 2017

HARI HIMPUNAN VETERAN ATM & KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2017


Sempena sambutan Hari Pahlawan hari ini, saya telah berkesempatan untuk sama-sama berkumpul dengan 15 ribu anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia dan veteran-veteran ATM untuk menjayakan Hari Himpunan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 di MIECC, Seri Kembangan. Sesungguhnya, saya berasa begitu bangga dan megah kerana dapat bersama mereka semua pada hari yang begitu bersejarah ini.

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) serta Persatuan-persatuan Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV kerana berjaya menganjur serta menyemarakkan Hari Himpunan Veteran ATM 2017. Dengan lautan warga Veteran ATM yang hadir dalam himpunan tadi, saya juga dengan amat berbesar hati ingin mengalungkan ucapan jutaan terima kasih kepada mereka atas kesudian untuk hadir.

Tiada yang lebih bermakna dalam usaha Kerajaan untuk mengiktiraf jasa Veteran ATM, selain menjaga kebajikan serta mengambil berat berkenaan kebajikan dan hal ehwal mereka. Bermula daripada gemulah ayahanda saya, Tun Razak Hussein menjawat jawatan Menteri Pertahanan ketika Negara mula bertatih selepas mencapai kemerdekaan, sehingga portfolio Menteri Pertahanan kemudian bersilih ganti sehingga pernah diamanahkan juga kepada saya sendiri sebanyak dua kali.

Pada kesempatan ini saya dengan penuh bangga turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana dengan begitu cemerlang telah memastikan aspek kebajikan Veteran ATM sentiasa diutamakan dalam agenda Kementerian Pertahanan. Ini dijelaskan apabila soal pembelaan dan kebajikan Veteran ATM merupakan satu daripada lima teras yang diberi fokus dalam hala tuju Kementerian Pertahanan Malaysia.

Suka untuk saya lihat himpunan ini dijadikan sebagai wadah kepada kedua-dua belah, sama ada wadah kepada anggota Veteran menyampaikan aspirasi mereka kepada Kerajaan, juga sebagai wadah bagi kepimpinan negara menyampaikan mesej kepada anggota Veteran ATM dalam memacu usaha pembangunan negara.

Oleh itu, saya telah menyampaikan berita gembira daripada pihak Kerajaan kepada Veteran ATM, khusus untuk terus membela nasib mereka yang telah banyak menabur bakti dan berkorban untuk Negara yang tercinta. Tanpa pengorbanan daripada Veteran ATM, sudah tentu Negara kita tidak mampu meraih keamanan dan kestabilan seperti yang dinikmati pada hari ini.

Selain itu, saya juga telah mengumumkan penambahbaikan kepada Skim Perkhidmatan ATM bagi membela nasib warga ATM yang bakal menjadi Veteran kelak. Usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan Veteran ATM adalah sebagai bukti bahawa Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pengorbanan Veteran ATM sentiasa dihargai.

Bantuan Bakti Negara

Bagi menghargai jasa para Veteran ATM yang Tidak Berpencen, saya telah mengumumkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) yang akan dijadikan sebagai bantuan permulaan daripada Kerajaan, khas kepada Veteran ATM Tidak Berpencen. BBN adalah bantuan tahunan kepada Veteran ATM Tidak Berpencen untuk membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi golongan ini.

Pengumuman skim BBN ini juga adalah lanjutan daripada pengenalan skim kepada Veteran ATM yang telah diperkenalkan pada tahun 2013 iaitu Skim Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVT1M). Hal ini seterusnya dapat memastikan nasib Veteran ATM yang Tidak Berpencen akan terus dapat dibela oleh Kerajaan.

Untuk makluman, pengenalan BBN ini merupakan satu bentuk mekanisme baru bagi Kerajaan, membantu golongan Veteran ATM yang berpendapatan rendah dan tidak berpencen tanpa membebankan sumber kewangan sedia ada Kerajaan.

Kerajaan melaksanakan inisiatif ini kerana hasil daripada dapatan fakta menunjukkan bahawa sehingga Mei 2017, jumlah Veteran ATM adalah seramai 288,952 termasuk Veteran ATM yang berkhidmat di era pra-kemerdekaan.

Daripada jumlah itu, seramai 170,581 (59%) Veteran ATM adalah terdiri daripada mereka yang Tidak Berpencen manakala selebihnya pula, iaitu 118,371 (41%) adalah Veteran ATM yang Berpencen.

Pada asasnya, syarat penerima BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), iaitu mereka yang berada di bawah kelompok B40. Sebanyak RM1,200 akan diberikan kepada Veteran ATM Tidak Berpencen berdasarkan senarai penerima BR1M. Seramai 66,000 Veteran ATM Tidak Berpencen dijangka mendapat faedah sebagai penerima BBN.

Manakala kepada Veteran ATM Tidak Berpencen yang bukan penerima BR1M pula, mereka akan menerima RM600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas. Seramai 10,959 Veteran Tidak Berpencen yang berusia di atas 60 tahun pada tahun 2017 akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN.

Skim Anuiti Veteran (SAVe)

Inisiatif kedua yang telah saya umumkan adalah berkaitan penambahbaikan Skim Perkhidmatan ATM. Inisiatif ini dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) dan ianya tertakluk kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat di mana inisiatif tersebut membolehkan anggota ATM tetap mendapat inisiatif walaupun anggota ATM berhasrat untuk berhenti awal daripada perkhidmatan.

Tujuan skim SAVe dilancarkan Kerajaan adalah untuk memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal Veteran Tidak Berpencen seperti mana Veteran yang mendapat pencen bulanan, di mana hasilnya adalah daripada caruman kerajaan yang telah dilaburkan.

Caruman ini penting kerana dapatan fakta telah menunjukkan bahawa antara tahun 2010-2016, purata seramai 879 warga ATM telah meninggalkan perkhidmatan sebelum tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Dengan terlaksananya Skim SAVe, caruman tersebut akan sentiasa ada di dalam simpanan akaun dan memberi manfaat bulanan kepada mereka. Ia juga boleh diserahkan kepada waris yang layak apabila Veteran tersebut meninggal dunia.

Secara amnya, skim BBN dan SAVe ini adalah untuk menjaga kebajikan warga ATM yang telah memilih untuk tidak meneruskan perkhidmatan sehingga tempoh minimum untuk membolehkan mereka menerima pencen. Kerajaan yakin melalui pendekatan ini ianya akan dapat meringankan sedikit beban yang dipikul oleh mereka selepas menamatkan perkhidmatan.

Pencen Hilang Upaya Bagi Veteran ATM Yang Berkhidmat Kurang Daripada 10 Tahun

Inisiatif ketiga yang telah saya umumkan adalah penambahbaikan terhadap Skim Pencen Hilang Upaya Bagi Veteran ATM yang berkhidmat kurang daripada 10 Tahun. Ini bermaksud Veteran tersebut terpaksa diberhentikan awal daripada perkhidmatan akibat mengalami kecederaan dan kecacatan kekal sewaktu menjalankan tugas. Jika tempoh perkhidmatan mereka kurang daripada 10 tahun, mereka hanya layak menerima pencen hilang upaya sahaja.

Kerajaan peka dengan keadaan ekonomi sekarang serta jurang nilai pencen bagi Veteran yang tergolong dalam kategori ini, maka sudah tiba masanya kadar pencen hilang upaya bagi golongan tersebut melalui proses pelarasan.

Justeru, saya umumkan bahawa para Veteran ATM yang tergolong dalam kategori ini akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300% sehingga 800% untuk pembayaran pencen mereka. Ia melibatkan nilai minimum dari RM500 sehinggalah nilai maksimum berjumlah RM2,000.

Adalah diharapkan dengan penambahbaikan skim pembayaran pencen hilang upaya kepada Veteran ATM yang diberhentikan kurang daripada 10 tahun akibat kecederaan kekal akan dapat meringankan beban dan memberikan makna yang besar kepada mereka, Insya-Allah.

Insentif Veteran Kelainan Upaya

Saya juga telah mengumumkan bahawa bagi Veteran ATM yang mengalami kelainan upaya selepas bersara, PV ATM telah mewujudkan Insentif Veteran Kelainan Upaya.

Melalui insentif ini, mereka akan menerima sejumlah RM500 setahun melalui dana yang diperolehi hasil daripada kutipan Tabung Pahlawan.

Walaubagaimanapun, dengan komitmen berterusan Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup, selain daripada kos perubatan yang mungkin ditanggung oleh golongan Veteran ATM yang mengalami kecederaan kekal selepas bersara ini, Kerajaan akan menambah sebanyak RM500 lagi untuk menjadikan jumlah keseluruhan insentif ini kepada RM1,000 berbanding RM500 sahaja sebelum ini.

Kuota Ibadah Haji Veteran ATM

Kita sedia maklum bahawa umat Islam di Malaysia sedang merasai suasana untuk Mengerjakan Ibadah Haji. Penerbangan pertama telah pun berlepas ke Tanah Suci pada 24 Julai lalu. Sehubungan dengan itu, saya telah mengumumkan penambahan kuota mengerjakan Ibadah Haji bagi Veteran ATM kepada 400 orang pada tahun ini berbanding 100 orang pada tahun sebelumnya.

Saya mengucapkan syukur dan tahniah kepada Veteran ATM yang terpilih untuk mengerjakan Ibadah Haji pada tahun ini. Moga perjalanan mereka dalam mengerjakan ibadah dipermudahkan dalam apa jua urusan serta mendapat Haji yang Mabrur, Insya-Allah.

Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017

Sempena Hari Pahlawan pada hari ini, saya turut melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2017. Kempen Tabung Pahlawan ini adalah hasil kerjasama antara pihak Kerajaan dan PV ATM.

Sesungguhnya, Tabung Pahlawan telah diwujudkan bagi mengumpul sumbangan daripada semua pihak untuk mengisi tabung kebajikan bagi mengenang jasa-jasa perajurit Negara yang telah berkorban dalam mempertahankan tanah air.

Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan pada tahun ini agak istimewa kerana dilancarkan dalam himpunan yang membabitkan belasan ribu warga Veteran ATM. Malah, dengan pengumuman mengenai inisiatif pihak kerajaan untuk membela nasib warga Veteran ATM yang telah saya umumkan hari ini menambahkan lagi signifikan pelancaran kempen Tabung Pahlawan 2017 pada hari ini.

Jelas sekali, kesemua inisiatif dan penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan ATM, khususnya kepada para veteran ATM yang tidak berpencen, telah membuktikan bahawa usaha Kerajaan untuk membela nasib kebajikan warga Veteran ATM, sama ada Berpencen mahupun Tidak Berpencen, adalah bersifat inklusif serta holistik.

Lantaran itu, janganlah mudah terpengaruh dengan dakyah pembohongan, termakan hasutan dan tipu muslihat pembangkang. Yakinlah bahawa, hanya UMNO dan Barisan Nasional yang selama ini berusaha gigih membela nasib pahlawan-pahlawan veteran negara.

Mustahaknya, saya menyeru kepada semua warga veteran ATM supaya, demi Negaraku, teruskanlah setia berdiri teguh bersama Kerajaan, walau susah dan senang bersatu padulah kalian untuk masa kini serta generasi TN50 masa depan.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles