1 November, 2018

Jalan mudah untuk PH ialah dengan menuding jari


Apabila pembentangan bajet 2019 dibuat esok di mana kerajaan akan meminta rakyat berkorban, saya jangka kerajaan Pakatan Harapan akan menuding jari kepada saya dan kerajaan BN terdahulu dengan menggunakan angka hutang RM1 trilion rekaan mereka.

Carta di bawah ini menunjukkan sejarah defisit dan unjuran saya bagi defisit bajet bagi tahun 2009 hingga 2020.

Saya amat yakin bahawa kerajaan PH sudahtersasar dari mencapai sasaran defisit 2.8 peratus yang ditetapkan melalui Bajet 2018. Timbalan Menteri Kewangan juga telah memaklumkan kepada Parlimen pada hari Selasa yang lalu bahawa kerajaan PH sudah meminjam RM87.5 bilion bagi tahun ini, sehingga September 2018.

Sebagaimana dinyatakan melalui RMK11 yang disemak semula, kerajaan PH telah meningkatkan sasaran defisit sehingga tahun 2020 berbanding sasaran kerajaan terdahulu.

Saya yakin defisit bajet bagi 2018 hingga 2020 akan lebih tinggi berikutan pemansuhan GST dan kerana ekonomi sudah bertambah lembab walaupun BN telah meninggalkan ekonomi yang kukuh dan berkembang kepada mereka.

Ekonomi yang lemah bermakna perolehan cukai kerajaan juga akan turut menyusut.

Sebuah kerajaan akan mengalami defisit bajet apabila perbelanjaannya adalah lebih tinggi dari pendapatannya dan perlu meminjam untuk memenuhi jurang perbezaan.

Ini mengakibatkan peningkatan hutang kerajaan. Apabila defisit adalah tinggi, ini bermakna akan lebih banyak peminjaman dibuat, sekaligus meningkatkan hutang.

Jadi, bagaimana kerajaan PH akan mengurangkan hutang negara jika mereka meminjam lebih banyak berikutan defisit yang lebih besar?

Pada 2009 dan 2010, kerajaan BN mengalami defisit tinggi berikutan pakej peransang bagi menyuntik dana ke dalam ekonomi dalam usaha menyelamatkan negara dari terjerumus dalam kemelesetan ekonomi global yang tercetus daripada krisis sub-prima pada 2007.

Namun selepas itu, kita berjaya mengurangkan defisit bajet setiap tahun dan berupaya meningkatkan jumlah bantuan yang disalurkan kepada rakyat setiap tahun, menambah projek-projek mesra rakyat selain mengurangkan cukai pendapatan dan korporat. Dan kita tidak pernah meminta rakyat untuk berkorban.

Bagi kerajaan PH pula, kita lihat mereka merancang untuk mengurangkan bantuan kepada rakyat, memansuhkan projek-projek rakyat, meningkatkan atau memperkenalkan cukai baharu dan rakyat diminta berkorban tetapi pada masa yang sama, defisit meningkat berbanding penurunan ketara bagi tempoh 9 tahun yang lalu.

Ini sangat aneh. Oleh itu, jalan mudah untuk PH ialah dengan menuding jari, tanpa mengambil kira fakta, kepada saya dan kerajaan BN terdahulu untuk menutup kelemahan mereka.