15 October, 2015

Kaji Selidik #Bajet2016 dan Isi Rumah B40


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekembalinya saya dari luar negara baru-baru ini, saya telah meluangkan masa membaca cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh saudara-saudari semua hasil dari kempen crowdsourcing bagi #Bajet2016 yang berlangsung pada 1 September hingga 18 September 2015.

Dari cadangan-cadangan ini, adalah didapati bahawa ramai yang meminta Kerajaan membantu meringankan beban harian, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Selain itu, ramai juga yang menyuarakan pandangan mengenai harga kos rumah yang tinggi sehingga di luar kemampuan. Terdapat juga cadangan meminta Kerajaan untuk bukan sahaja meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang malah Kerajaan disaran untuk melabur di dalam projek KTM atau LRT yang baru di pusat-pusat bandar di negeri-negeri lain.

Tidak hairan juga ada beberapa cadangan yang begitu bernas dan membina. Saya akan mengemukakan idea-idea ini kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian secara menyeluruh. Terima kasih atas cadangan-cadangan anda semua.

Dalam satu kaji selidik pula yang dilancarkan pada 18 September sehinggalah tarikh tutupnya pada 1 Oktober, saya telah meminta saudara-saudari semua untuk memberikan maklum balas kepada saya mengenai tiga kategori yang paling penting kepada anda.

Jelas sekali, saya melihat keputusan terakhir pilihan anda bahawa Kos Sara Hidup, Perumahan dan Kehidupan di Bandar, dan Pendidikan merupakan tiga kategori yang paling penting seperti yang dipaparkan di bawah.

bajet_blog

Bajet 2016 ini adalah penting kerana kedudukan ekonomi global semasa adalah amat mencabar. Tidak dapat dinafikan bahawa ketidaktentuan ekonomi global yang kita lihat pada hari ini sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan ekonomi Malaysia dan menimbulkan kebimbangan lapisan masyarakat tertentu. Keadaan ini juga dijangka akan berlanjutan disebabkan oleh harga minyak mentah dan komoditi utama lain yang masih di paras yang rendah serta kelembapan ekonomi dunia, terutamanya rakan-rakan dagangan.

Dalam konteks ini, golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) adalah golongan yang paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup.

Oleh yang demikian, #Bajet2016 akan terus menjamin peluang dan akses isi rumah B40 kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran agar berpeluang memperolehi pekerjaan yang stabil dan lebih baik lagi di samping menyediakan rumah mampu milik, serta meningkatkan pendapatan, pemilikan kekayaan dan kualiti hidup isi rumah golongan ini. Kelestarian pendapatan isi rumah adalah penting. Sebab itulah saya menekankan kepentingan ekonomi rakyat (People Economy).

Namun begitu, kerajaan perlu memastikan ekonomi modal (Capital Economy) bergiat cergas agar terus menjana ekonomi rakyat (People Economy). Adalah perlu kecerdasan kedua-dua ekonomi (Ekonomi modal dan ekonomi rakyat) ini dipertingkatkan untuk membawa negara kita ke arah kedudukan yang lebih tinggi lagi, selaras dengan negara-negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Insya-allah kerajaan akan terus memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara kekal pada landasan yang kukuh lagi stabil melalui beberapa langkah yang akan diumumkan dalam #Bajet2016 pada 23 Oktober ini.

Terima kasih sekali lagi kepada saudara-saudari semua kerana sudi meluangkan masa untuk memberi cadangan-cadangan bagi #Bajet2016 ini.

Shares Share Kategori : Bajet2016, Blog