23 December, 2018

Kebimbangan tentang prospek pekerjaan untuk belia


Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memberi amaran bahawa majikan dalam semua sektor ekonomi, dijangka akan membuang pekerja dan tidak membuat pengambilan baru pada tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang semakin menurun.

Mereka juga mengadu bahawa kos pengeluaran telah meningkat akibat beberapa dasar baru kerajaan PH sementara peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan juga dijangka berkurang berikutan jangkaan kemerosotan jumlah pelancong China ke negara ini.

Berikutan ini, MEF meluahkan kebimbangan tentang prospek pekerjaan untuk 450,000 hingga 500,000 golongan belia yang akan memasuki pasaran kerja tahun depan.

Pada masa yang sama, persatuan pengguna turut memberi unjuran bahawa pengguna perlu membayar lebih tinggi barang makanan berikutan ekonomi yang lembab dan kelemahan ringgit.

Mereka percaya bahawa tahun depan akan menjadi tahun mencabar untuk pengguna Malaysia.

Aktivis dari Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam juga berkata bahawa kegembiraan atas kemenangan pilihan raya umum lepas kini bertukar menjadi kemarahan berhubung “pelbagai isu”, termasuk harga barang.

Saya melihat tahun depan memang satu masa mencabar kepada negara.

Unjuran kadar pertumbuhan ekonomi negara telah banyak kali diturunkan oleh pelbagai pihak.

Sebagai contoh, syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody’s telah menurunkan kadar pertumbuhan KDNK negara kepada 4.4% untuk 2019 dan 3.6 % pada 2020 berbanding 5.9% pada 2017 di bawah kerajaan BN.

Tarif elektrik sudah dinaikkan selepas PRU14 dan kerajaan baru mengumumkan akan menaikkan lagi bulan Mac serta mungkin sekali lagi pada bulan Julai.

Kerajaan PH juga telah mengumumkan tarif air untuk semua negeri akan dinaikkan manakala harga petrol diapung semula bermula April depan.

Pada masa yang sama, defisit negara akan lebih besar tahun depan berbanding tahun 2017 dan kemungkinan besar, akan bertambah teruk setelah Lim Guan Eng telah silap membuat andaian belanjawan tahun depan dengan harga minyak dunia pada US$72.

Walaupun harga minyak ketika ini jatuh kepada US$52 satu tong, beliau masih enggan mengubahsuai belanjawan 2019 bagi menghadapi realiti baru ini.

Harga komoditi lain seperti minyak sawit dan getah juga diunjurkan terus lemah tahun depan.

Harga sawit mungkin bertambah teruk setelah pada minggu lalu, kerajaan PH gagal untuk menghalang Perancis dari meluluskan undang-undang menolak penggunaan minyak sawit di negara mereka.

Saya bimbang ada lagi negara-negara lain di Eropah akan mengikut langkah Perancis ini.

Pada masa yang sama, ramai penganalisa percaya perebutan kuasa di dalam kerajaan PH yang telah bermula akan bertambah hangat tahun depan dan mungkin menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih bersabar dan sedia berkorban seperti disaran oleh kerajaan PH.

https://www.freemalaysiatoday.com/…/lebih-sedikit-peluang-…/

https://www.freemalaysiatoday.com/…/harga-barang-makanan-a…/