Kejayaan Bangsaku, Kejayaan Negaraku

By Saturday December 2nd, 2017 Blog, Featured Articles

Tidak berapa hari sahaja lagi akan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO ke-71, acara kemuncak parti keramat yang memperjuangkan bukan sahaja nasib Melayu, Bumiputera dan Islam, malah seluruh Negaraku Malaysia tercinta ini, dari kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

71 tahun dalam usia manusia itu tempoh yang panjang dan lama, tetapi bagi usia sebuah parti yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa dan negara ke arah kejayaan, 71 tahun itu boleh kita umpamakan sebagai usia yang masih muda, masih baharu, masih belia.

Tetapi Alhamdulillah, meskipun dalam usia muda ini, kita telah mencapai begitu banyak, untuk Melayu, untuk Bumiputera, untuk Islam, dan untuk negara Malaysia.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-71 ini, sama-sama kita hayati sejauh mana UMNO telah memimpin Melayu dan Bumiputera, dan secara langsungnya juga negara, ke arah kejayaan yang kita kecapi hari ini.

Bumiputera merangkumi lebih 60 peratus daripada bilangan penduduk di Malaysia, yakni bilangan majoriti, dan kita sedar bahawasanya untuk Malaysia terus maju dan berkembang, kumpulan majoriti ini perlu juga terus makmur dan berjaya. Kedua-duanya perlu seiring, sejalan, dan sehaluan; Kejayaan Bangsaku, Kejayaan Negaraku.

Oleh itu, semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009, pelbagai inisiatif telah Kerajaan Barisan Nasional laksanakan, ada yang kita tambah baik daripada kepimpinan terdahulu, untuk terus memperkasa Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional.

Antara lain, hasil usaha berterusan kita menyaksikan pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 sewaktu saya mula memimpin, kepada RM6,267 tahun lalu, peningkatan hampir dua kali ganda. Manakala insiden kemiskinan Bumiputera juga berjaya kita turunkan, daripada 5.3 peratus pada tahun 2009, kepada 0.5 peratus tahun lalu.

Lebih daripada itu, kita juga sentiasa memastikan Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing, sama ada dari segi pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset dan banyak lagi. Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan Bumiputera di Malaysia.

Kesemua kejayaan ini adalah hasil perjuangan UMNO, atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala’ tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli UMNO, dari setiap lapisan masyarakat, dari akar umbi ke pucuk kepimpinan.

Kerana UMNO adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. UMNO adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu.

Insya-Allah, UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab ini, menjadi nakhoda membawa Melayu, Bumiputera, rakyat serta negara Malaysia, dalam pelayaran menuju lembah kejayaan, kerana perjuangan kita ini perjuangan berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni. Demi agama, demi bangsa, demi negara.