22 February, 2018

Kesejahteraan Isi Rumah


Pagi ini saya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk berkongsi mengenai perkara berkaitan Kesejahteraan Isi Rumah dalam Bajet 2018. Ini adalah sesi kedua program ini selepas di Kedah pada November tahun lalu.

Yang hadir antaranya rakan-rakan online saya, para penyumbang idea melalui laman Bajet 2018, kakitangan di PPUKM, doktor-doktor dari Malaysia Healthcare Travel Council, sahabat-sahabat KOSPEN, rakan-rakan PNB dan saya juga gembira dapat melihat ramai pasangan suami isteri dan ibu bapa yang turut hadir.

Saya mulakan ucapan dengan memberi gambaran keseluruhan keadaan semasa ekonomi negara.

Alhamdulillah, hasil dasar-dasar ekonomi yang telah kita laksanakan, ekonomi negara telah berkembang pada tahap cukup memberangsangkan.

Keseluruhan tahun 2017, ekonomi kita berkembang 5.9 peratus, bermakna kita berada dalam kalangan negara yang melakar pertumbuhan tertinggi di dunia tahun lalu.

Apa makna pertumbuhan ekonomi negara ini kepada rakyat?

Dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil dah kukuh, ia membawa kepada pertumbuhan pekerjaan, peluang perniagaan, dan peningkatan pendapatan.

Misalnya, setakat 2017, 2.26 juta peluang pekerjaan telah kita wujudkan, kadar pengangguran kita juga rendah pada 3.3 peratus.

Antara 2014 hingga 2016, pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat sebanyak 6.2 peratus, manakala kajian tahun lalu melaporkan purata kenaikan gaji pendapatan antara 5.0 hingga 5.5 peratus.

Saya sedar ada suara sumbang yang memutar belit fakta hutang Kerajaan Persekutuan. Saya beri jaminan kepada hadirin dan juga kepada semua rakyat Malaysia, bahawa keadaan ekonomi Kerajaan adalah stabil….”the health of our Government finances is solid.”

Badan penarafan antarabangsa seperti Fitch dan Moody’s memberi kita penarafan minimum A. Hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi taraf 55%, (a self imposed limit). Tahun lepas ia berada pada tahap 50.8 peratus daripada KDNK.

Adanya kewangan yang stabil ini, peruntukan besar boleh kita sediakan dalam berbagai sektor. Hari ini misalnya, Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM8,900 bagi sekolah rendah dan menengah kepada setiap murid setahun. Pendidikan kita percuma sebenarnya di peringkat ini.

Kalau dalam bidang pendidikan tinggi, untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan kosnya besar, hampir RM300,000. Tapi di Malaysia, pelajar cuma perlu bayar RM9,000 sahaja.

Selain itu dalam bidang kesihatan juga, subsidi yang Kerajaan berikan amat tinggi. Saya ambil contoh kos bersalin, saya dimaklumkan oleh Dr Surinder Singh pakar doktor swasta dari Tropicana Medical Centre semasa sesi berlangsung, di hospital swasta umumnya kos bersalin antara RM3,000 hingga RM5,000, dan jika ada komplikasi mungkin berbelas ribu ringgit.

Kalau di PPUKM ini, pengarah hospital tadi Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid maklumkan bahawa hospital semi-government, kosnya cuma RM200. Kalau di Hospital Kerajaan, cuma RM10.

Inilah contoh subsidi yang telah Kerajaan salurkan kepada rakyat. Tetapi malangnya bila kita hapuskan subsidi minyak, ramai berkata seolah-olah dah tak ada lagi subsidi Kerajaan.

Kita hapuskan subsidi ini kerana ia menguntungkan mereka yang lebih berada, dan kita gantikan dengan subsidi bersasar seperti BR1M yang sampai terus kepada mereka yang memerlukan.

Saya kongsi juga mengenai kualiti hidup hari ini yang sudah meningkat.

Contohnya, dulu pada tahun 70-an mungkin kita naik kapcai, di tahun 80-an dan 90-an ramai naik Proton, hari ini saya dimaklumkan antara jenama kereta paling popular adalah Honda.

Satu lagi contoh adalah smartphone, dulu saiznya sebesar beg bimbit, hari ini sekecil tapak tangan. Dulu ia dianggap satu luxury, tapi hari ini ia boleh kita katakan dah jadi necessity.

Dalam 9 bulan pertama sahaja pada tahun 2017, sejumlah RM7 bilion telah dibelanjakan bagi mengimport smartphone ke Malaysia. Nilai ini adalah dua kali ganda berbanding import kereta yang berkapasiti enjin 1.5 ke 3 litre.

Jadi ini contoh-contoh bahawa kualiti hidup hari ini telah meningkat naik seiring perkembangan dunia, dan Alhamdulilah rakyat Malaysia tidak ketinggalan sebaliknya turut sama menikmati peningkatan kualiti hidup.

Satu lagi kelainan program kali ini adalah adanya sesi soal jawab bersama saudara Fizo Omar, dengan soalan-soalan datang daripada para hadirin.

Banyak soalan yang ditanya, ada yang tanya mengenai masa depan negara, ada yang tanya mengenai ADAM50, malah ada yang tanya tips jaga kesihatan!

Saya kongsi bahawa saya akan cari masa untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, dan saya juga jaga pemakanan, tapi susah sikit sebab Malaysia ini syurga makanan, dan antara kegemaran saya adalah Nasi Vanggey di Ipoh.

Tapi di mana boleh, saya cuba jaga apa yang saya makan, misalnya saya gantikan nasi dengan quinoa atas faktor kesihatan, dan biasanya saya makan sedikit sahaja pun dah mencukupi.

Saya kemudian melancarkan ADAM50 dan melawat beberapa orang ibu dengan bayi baru lahir untuk sampaikan borang ADAM50 ini kepada mereka.

ADAM50 ini juga satu inisiatif Kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2018 berkaitan Kesejahteraan Isi Rumah, di mana anak baru lahir antara 2018 hingga 2022 diberi dana tabungan permulaan sebanyak RM200 percuma, bagi memupuk budaya menabung dari kecil.

Suka saya berkongsi dengan para pembaca apa yang saya nyatakan kepada para hadirin di auditorium tadi sebelum mengakhiri ucapan.

Negara kita hari ini negara yang berjaya dan negara yang menjadi model kepada negara-negara lain, dan Kerajaan yang ada hari ini adalah Kerajaan yang mampu terus mentadbir negara, Kerajaan yang mampu memelihara rakyat Malaysia, Kerajaan yang dihormati dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain.

“We had an economic plan, and that plan has delivered, and we will continue to deliver for the people of Malaysia.”

Insya-Allah, akan ada lebih banyak sesi perkongsian begini di masa hadapan, dan saya harap dapat berjumpa dan berkongsi lebih banyak lagi dengan anda semua kelak.