6 December, 2016

Kilang Bateri


Saya memang dah lama nak ke Kilang Bateri di Johor Bahru, Alhamdulillah akhirnya saya sampai juga dan dapat lihat sendiri Kilang Bateri semalam. Walaupun malam agak lewat dan pada hari bekerja, masih meriah begitu ramai yang hadir.

Saya sempat berjalan meninjau beberapa kedai, dan secara keseluruhannya saya boleh lihat kenapa orang kata tak sah ke JB kalau tak singgah ke Kilang Bateri. Memang ‘happening’!

KB - Pic 2

Saya kagum dengan kisah kejayaan usahawan-usahawan Bumiputera muda yang begitu kreatif, mengguna pakai konsep Indienomics, mencari peluang perniagaan melalui pendekatan baharu dan memenuhi ‘gap’ atau permintaan dalam kalangan pengguna yang rata-rata terdiri daripada orang muda juga.

Usaha mereka membangunkan kilang bateri terbiar kepada sebuah Hipster Mall dan juga pusat kegiatan seni dan aktiviti positif buat anak-anak muda ini membuahkan hasil menakjubkan. Kilang Bateri hari ini bukan saja terkenal sebagai ‘the go-to-place’ dalam kalangan orang Johor, malah pelancong asing turut sama berpusu-pusu untuk membeli-belah, makan dan santai di sini.

KB- Pic 1

Selepas berkunjung, saya bersama dengan Menteri Besar Johor Dato’ Seri Khaled Nordin dan Ahli Parlimen JB, Tan Sri Shahrir Samad berjumpa dengan rakan-rakan online saya, usahawan muda berjaya di Johor.

Antaranya, pengasas bersama Kilang Bateri, Johan Ropi, pengasas bersama jenama JOHO, Yusri Bachok, Emi Liyana pemilik Psychedelic Store, Syahir Zakaria, pengasas dan pereka jenama pakaian Stickybox Clothing, Akmal Hakim pengasas bersama jenama pakaian Costura Clothing, dan Tengku Ahmad Syamil, pengasas bersama ‘crowd-funding’ Skolafund.

KB - Pic 3

Dalam sesi santai saya bersembang dengan mereka, banyak perkara yang telah disentuh, antaranya mengenai start-ups, budaya Hipster, dan juga bantuan Kerajaan untuk terus pupuk keusahawanan buat orang muda.

Selain dana dan inisiatif sedia ada seperti SUPERB, TERAJU dan sebagainya, Kerajaan juga melihat untuk memberikan insentif tambahan bagi menjadi pemangkin golongan muda terus cemerlang dalam bidang keusahawanan.

Baru-baru ini sahaja saya ada umumkan di Karnival SSM bahawa sebuah geran khas bernilai RM10 juta telah diperuntukkan untuk disalurkan dalam tempoh 10 tahun yang membolehkan pelajar universiti mendaftar perniagaan secara percuma.

Malah, di Kilang Bateri pun saya ada nyatakan bahawa sebuah geran khas daripada Khazanah untuk para peniaga di Kilang Bateri ini akan saya umumkan tidak berapa lama lagi.

Saya turut menerima beberapa idea bernas mengenai penggunaan “crowd-funding” dan “crowd-sourcing” bagi tujuan dana, bukan sahaja untuk memulakan perniagaan seperti start-ups, tetapi juga dalam bidang pengajian di peringkat tinggi.

Ada juga yang mengisahkan kepada saya bagaimana mereka bermula secara kecil-kecilan berniaga online sehingga hari ini mempunyai kedai sendiri yang terkenal. Banyak jenama tempatan hari ini yang telah maju dan berjaya, tetapi ada banyak lagi di luar sana yang hanya memerlukan sedikit dorongan untuk capai ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Tuntasnya, saya amat gembira dengan sesi perjumpaan kali ini di Johor Bahru. Banyak yang disembangkan, banyak juga cadangan-cadangan bernas yang akan kita teliti dan pertimbangkan.

Saya harap untuk adakan lebih banyak lagi sesi sebegini, sembang santai bersama akar umbi, terutamanya orang muda yang mempunyai idea dan kreativiti untuk mencorak masa hadapan mereka, kerana mereka inilah juga yang kemudiannya akan mencorakkan masa depan negara.

Kita jumpa lagi, Insya-Allah!

KB - Pic 4

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles