9 March, 2016

Langkah Membantu Rakyat Melalui Pengurangan Cukai


Ramai akan mula memfailkan penyata cukai sama ada di pejabat-pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara atau secara atas talian. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan semua individu yang berkenaan telah membayar cukai yang bertepatan serta menerima pulangan cukai di mana berhak selain mengelakkan berlakunya ketirisan.

Dalam Bajet 2015 yang lalu, saya telah mengumumkan beberapa langkah pengurangan dari segi cukai bagi tahun taksiran 2015 untuk membantu menangani kos sara hidup, antaranya:

– Kadar cukai pendapatan individu dikurangkan 1 hingga 3 mata peratusan. Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

– Golongan berkeluarga yang berpendapatan RM 4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai

– Kadar cukai maksimum 26 peratus pula dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus. Pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3 peratus.

Selain itu, sebagai langkah tambahan membantu rakyat, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, Kerajaan telah mengumumkan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak RM 2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM 8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015.

Melalui langkah ini, Kerajaan akan mengalami kerugian sebanyak RM350 juta tetapi pada masa sama dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga RM 475 serta memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

Saya harap kesemua inisiatif yang telah dan akan diambil ini sedikit-sebanyak dapat membantu rakyat dalam menguruskan kewangan mereka dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup, Insya-Allah.

cukai