12 May, 2017

Lawatan ke Alibaba, Hangzhou


Saya memulakan lawatan kerja ke China dengan melawat Alibaba di Hangzhou di mana saya telah diberi taklimat tentang kemampuan syarikat tersebut dalam bidang ekonomi digital. Saya diberitahu bahawa nilai urusniaga Alibaba pada tahun 2016 telah mencapai 3 trilion yuan atau lebih RM1.9 trilion dalam masa hanya 13 tahun. Beliau menjangkakan pada tahun 2020, nilai urusniaga akan mencecah 6 trilion yuan atau kira-kira RM 3.8 trilion!

Ini adalah satu pencapaian yang hebat dan saya pasti melalui usahasama yang diwujudkan, industri perusahaan di Malaysia akan menerima manfaat yang besar melalui Digital Free Trade Zone.

Sukacita juga saya ingin mengesahkan bahawa Alibaba akan mewujudkan Alibaba Cloud di Malaysia di mana big data bagi Alibaba untuk rantau Asia Tenggara akan ditempatkan di Malaysia. Ini tentunya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak kita serta memudahkan proses pemindahan kepakaran. Saya turut menyampaikan MSC Status Certification kepada pihak Alibaba.

Alhamdulillah, Perjanjian Persefahaman antara Malaysia Digital Economy Corporation, Hangzhou Municipal Government dan Alibaba (China) Company Limited juga telah berjaya ditandatangani. Perjanjian yang bertujuan untuk menjayakan hubungan antara Digital Free Trade Zone dan Hangzhou ini akan memberi kita akses kepada e-commerce melalui Hangzhou sebagai hub di negara China.

Saya yakin dengan kewujudan Digital Free Trade Zone ini, perusahaan sederhana dan kecil di Malaysia akan dapat dimajukan lagi terutamanya online business dalam bidang pengeksportan ke negara China. Saya menyeru pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana untuk tidak lepaskan peluang ini dan jadilah lebih proaktif dalam mengembangkan perniagaan.

Sebagai permulaan, regional fulfilment hub akan dilancarkan pada bulan Oktober depan dan saya diberitahu bahawa pihak MDEC sedang memilih 1,500 syarikat yang mempunyai produk-produk yang sesuai untuk mengambil bahagian dalam pengendalian platform Alibaba ini. Ini akan sekaligus dapat membantu mereka memperkasakan lagi penetration mereka di China, pasaran yang mempunyai lebih 1 bilion pengguna!

Secara keseluruhannya, saya yakin dan percaya ini adalah satu langkah yang tepat dalam memberi rangsangan yang cukup bermakna kepada SMEs di Malaysia untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles