11 January, 2018

Lawatan Kerja ke Arab Saudi


Saya kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Arab Saudi. Alhamdulillah, lawatan kali ini telah mencapai matlamatnya, dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

Bercakap tentang hubungan kedua-dua negara ini, persaudaraan antara Malaysia dengan Arab Saudi telah terjalin lama, tetapi bertambah akrab lagi dengan kunjungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tahun lalu, negara pertama dikunjungi Baginda di Asia.

Hasil kunjungan tersebut juga, kita telah menerima banyak manfaat sama ada dalam pendidikan, perniagaan, pelaburan, dan juga keagamaan. Pada masa sama, saya juga telah dijemput oleh Baginda Raja Salman untuk berkunjung ke Arab Saudi.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, minggu ini saya berpeluang memenuhi jemputan tersebut selain berkesempatan mengerjakan umrah bersama bonda Tun Rahah serta keluarga tercinta.

Dalam pertemuan dua hala saya bersama Baginda Raja Salman, kami telah membincangkan perkara seperti yang dipersetujui dalam kunjungan terdahulu Baginda ke Malaysia, antaranya kerjasama ekonomi, keselamatan, perkara berkaitan ibadah Haji selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.

Di kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih kepada Baginda Raja Salman atas layanan cukup istimewa dan memberikan taraf Tetamu Negara kepada saya dan rombongan. Kami diberi penghormatan berkunjung ke makam Rasulullah SAW, dan saya juga berpeluang memasuki Kaabah. Syukur Alhamdulillah.

Semoga hubungan persaudaraan ini akan terus terjalin erat dan bertambah kukuh lagi di masa hadapan, Insya-Allah.