22 May, 2016

Lawatan Kerja Ke London Dan Sochi


Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar mesra perniagaan. Sejak saya mula mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, saya telah menekankan kepentingan mengurus tadbir dan mengeratkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-negara rakan perdagangan melalui hubungan dua hala atau bilateral relationship.

Antara tahun 2009 hingga 2015, Pelaburan Langsung Asing atau Foreign Direct Investment (FDI) telah berkembang pada kadar 22 peratus setahun. Ini satu daripada tanda-tanda bahawa pendekatan yang diambil kerajaan adalah tepat dan membawa keyakinan kepada pelabur asing untuk terus melabur dalam negara Malaysia.

fundmanager

Di London, saya telah menghadiri beberapa mesyuarat dan sesi pertemuan bersama pengurus dana dan ketua-ketua industri di sana. Dalam pertemuan saya dengan mereka, saya telah berkongsi perkembangan terkini serta prospek untuk pertumbuhan dan pembangunan di Malaysia.

Saya juga meluangkan masa berkongsi bahawa asas ekonomi negara kita kekal kukuh, dengan pertumbuhan tahun lalu dicatatkan pada 5 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia. Malaysia merupakan antara negara paling pesat membangun di rantau ini.

malaysiaukinvestor

Di Malaysia-UK Investor Showcase, saya gembira melihat dan menyatakan bahawa syarikat-syarikat di United Kingdom berterusan menunjukkan keyakinan tinggi kepada Malaysia dengan pelaburan dalam projek baru dan pengembangan perniagaan sedia ada. Saya juga telah mempelawa mereka untuk terus mengambil peluang pertumbuhan di Malaysia, yang juga adalah gerbang kepada pasaran ASEAN yang dihuni 600 juta penduduk dan pintu masuk kepada Perkongsian Trans Pasifik dengan pasaran seramai 800 juta penduduk.

entrepreneurialspirit3

Pengaruh Malaysia di tengah-tengah Kota London juga kini makin menyerlah, bukan sahaja secara figuratif tetapi juga secara harfiah. Saat yang membanggakan buat Malaysia apabila syarikat tempatan EcoWorld, dengan kerjasama bersama syarikat Ballymore, telah diberi kepercayaan untuk membangunkan semula kawasan di Nine Elms secara besar-besaran, menunjukkan keyakinan negara luar terhadap syarikat-syarikat Malaysia.

GCIAS21

Dalam ucapan saya di Khazanah Distinguished Lecture Series, saya sekali lagi menekankan kepada mereka yang hadir mengenai daya tahan ekonomi Malaysia serta kemampuan dan potensi kita untuk mencari model pertumbuhan seimbang dan mampan yang mampu mewujudkan peluang buat semua.

KEIL-3

Bercakap mengenai Khazanah, pembukaan pejabat Khazanah Eropah Investment Limited di London mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan United Kingdom serta meningkatkan kehadiran Malaysia di London.Hubungan ini juga akan menyediakan Khazanah dan syarikat pelaburannya, dengan pendedahan kepada pasaran maju dan akan membolehkan mereka menilai peluang-peluang dalam sektor teknologi di Eropah yang lebih baik.

Ketika pelancaran pejabat Khazanah ini juga, saya telah mengumumkan Biasiswa Rhodes bagi Malaysia dengan kerjasama program Yayasan Khazanah di mana sehingga tiga sarjana Malaysia pada satu-satu masa, akan ditaja dalam pengajian siswazah di Universiti Oxford.

Tambahan kepada itu, 10 rakyat Malaysia yang layak juga akan ditaja setiap tahun untuk residensi jangka pendek dan fellowship di lokasi seluruh dunia di bawah Program Residensi Khazanah.

Secara tuntasnya, kunjungan kali ini amat produktif, di mana saya yakin ia telah mengukuhkan lagi keyakinan pelabur dan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan UK.

Saya seterusnya ke Sochi, Rusia untuk Sidang Kemuncak Peringatan Rusia-ASEAN, di mana saya turut mengadakan sesi pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Nguyen

Malaysia dan Vietnam baru-baru ini telah menaik taraf hubungan daripada bersifat komprehensif kepada yang bersifat lebih strategik, dan kami yakin hubungan dua hala kedua-dua buah negara akan terus kukuh, terutama dari segi komoditi, agrikultur, pertahanan dan keselamatan.

Manakala, antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan dua hala saya bersama Presiden Putin adalah mengenai peningkatan kerjasama ekonomi dan pelancongan.

Meskipun hubungan perdagangan antara negara kita dan Rusia kini berada pada tahap yang memuaskan, kita ingin meningkatkan lagi hubungan hingga mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Bagi mempertingkatkan hubungan dari segi ekonomi, kita akan meneroka peluang untuk mengadakan rundingan berkaitan perjanjian perdagangan bebas atau FTA dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

WhatsApp-Image-20160522

Selain itu, saya juga telah memanjangkan kepada Presiden Putin mengenai potensi pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara, dan mengemukakan cadangan agar kita wujudkan laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Moscow.

Berkaitan tragedi MH17, saya telah sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia dan semua rakyatnya inginkan jawapan, dan ingin supaya semua yang terlibat dengan tragedi ini menemui penutup, to find closure.

Kedua-dua Presiden Putin dan saya bersetuju bahawa tindakan selanjutnya akan kita putuskan selepas hasil siasatan Pasukan Penyiasat Bersama. Kita akan terus berusaha untuk dapatkan keadilan buat semua.

Alhamdulillah, saya yakin lawatan kerja saya ke United Kingdom dan Rusia ini telah mengeratkan hubungan antara kerajaan dan menambah keyakinan pelabur kepada Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan menarik dan penuh potensi.