15 March, 2016

Lawatan Kerja Ke Sarawak 11-13 Mac 2016


Hujung minggu yang lalu, saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja selama 3 hari.

Setibanya saya di Kuching pada hari Jumaat, saya membuat tinjauan ke Kubah Ria Matang, Petrajaya. Saya difahamkan medan selera di sini memang popular dan sering dikunjungi ramai terutamanya mereka yang berkeluarga untuk makan malam di hujung minggu. Saya berpeluang merasa serba sedikit masakan tempatan seperti laksa Sarawak, mee kolok dan sotong bakar.

sarawak1

sarawak2

Di Program Malaysia Inklusif Negara Digital atau MINDA, saya telah mengumumkan bahawa kerja-kerja baik pulih 150 buah menara komunikasi dan 438 WiFi Komuniti Sarawak telah dan sedang giat dilaksanakan. Insya-Allah, ia akan disiapkan pada akhir bulan Mac.

Pada masa sama, pemasangan kabel dasar laut untuk akses Internet yang lebih baik bagi penduduk Sabah dan Sarawak juga akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun.

sarawak3

Pada tengah hari, saya merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Rumah PR1MA di Dun Lama, Kuching.

Hubungan baik antara kedua Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah membolehkan banyak program pembangunan dibawa ke Sarawak yang seterusnya membawa banyak manfaat kepada rakyat.

sarawak4

sarawak5

Melalui projek PR1MA ini, kita mampu membangunkan projek perumahan yang harganya lebih rendah dari harga pasaran, dan dapat merealisasikan hasrat kerajaan memastikan setiap rakyat memiliki kediaman sendiri yang selesa, Insya-Allah.

Di sebelah petang, saya melawat Masjid Darul Furqan, Taman Malihah di Kuching. Saya lihat ada keperluan untuk kita bina masjid baru bagi keselesaan beribadat umat Islam di sini. Selain itu, saya turut melawat gereja Anglican Taman Malihah, di mana juga ada ruang penambahbaikan boleh dilakukan untuk penduduk beragama Kristian beribadat.

Kerajaan pusat dan negeri akan bersama-sama memberi peruntukan untuk pembinaan dan penambahbaikan masjid dan gereja di sini.

sarawak6

sarawak7

Saya kemudiannya ke Masjid Darul Ehsan di Kampung Haji Baki, Sarawak, di mana saya mengumumkan geran bagi pembinaan dewan masyarakat kampung selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan baru bagi menggantikan Sekolah Kebangsaan Kampung Baki yang sudah usang.

sarawak8

Di majlis pelaksanaan permulaan kerja-kerja pembinaan Projek Pan Borneo Sarawak bagi jajaran dari bulatan Serian ke persimpangan Pantu, saya menyatakan sekali lagi komitmen kerajaan untuk menunaikan semua janji bagi Sarawak dan Sabah maju seiring dengan arus pembangunan negara.

Pakej Jajaran Serian-Simpang Pantu ini akan membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, termasuk pembinaan tiga persimpangan bertingkat di Serian dan Simunjan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo adalah projek yang akan membawa transformasi hebat kepada Sarawak. Pembangunan ini adalah pemangkin kepada ekonomi rakyat di Sarawak, Insya-Allah.

sarawak9

Saya turut melakukan lawatan ke Kampung Suba Buan, di mana Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan sering dilanda banjir. Bagi mengatasi masalah tersebut, saya telah meluluskan pemindahan sekolah ke tapak baru.

Sekolah baru tersebut akan berupaya menampung murid-murid bukan sahaja dari Kampung Suba Buan, tetapi juga dari dua buah kampung lain iaitu Kampung Suba Bau dan Kampung Suba Bandar.

Tambahan kepada itu, saya turut meluluskan pembinaan jambatan konkrit bagi laluan ke Kampung Suba Buan.

sarawak10

Saya percaya Tan Sri Adenan Satem adalah Ketua Menteri yang boleh menjamin masa depan rakyat Sarawak, dan dengan beliau sebagai rakan seperjuangan saya, bersama-sama kita pastikan Sarawak terus membangun dan maju, Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles