30 May, 2016

Lembaran Baru Pelancongan Di Langkawi


Malam tadi, saya bersama Menteri Besar Kedah mengiringi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta kaum kerabat Diraja Kedah yang berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian St Regis Langkawi.

st-regis-1

Sepertimana yang kita sedia maklum, pelancongan adalah sektor ekonomi yang penting dan memberikan sumbangan keenam terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar.

Pada tahun 2015 sahaja, Malaysia telah menerima seramai 25.7 juta pelancong yang telah menjana pendapatan sebanyak RM69.1 bilion untuk negara dan secara puratanya dalam tempoh tiga tahun yang lepas, Malaysia telah berjaya meningkatkan perbelanjaan setiap pelancong kepada kira-kira RM2,600, yang seterusnya memanfaatkan penduduk setempat.

Namun demikian, saya berpendapat bahawa Malaysia perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan meningkatkan usaha bagi memastikan kita berada dalam landasan yang tepat dalam sektor pelancongan.

Menurut laporan The World Travel Monitor, pelancongan elit dan mewah telah mencatatkan pertumbuhan yang paling kukuh di seluruh dunia dengan kira-kira 46 juta pelancongan mewah antarabangsa pada tahun 2014 sahaja.

Selaras dengan trend terkini dalam sektor pelancongan yang menjurus kepada pelancongan elit, kita perlu menggiatkan lagi perancangan, penyediaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih ramai pelancong, bukan sahaja pelancong massa tetapi juga pelancong mewah.

Saya yakin dengan mengambil langkah ini, kita akan dapat mendatangkan manfaat kepada pengusaha dan penduduk setempat dengan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana ekonomi tempatan yang menjanjikan pendapatan tinggi. Antaranya, pengusaha kereta sewa, kraftangan, makanan dan minuman, tekstil serta pakaian akan menikmati limpahan hasil daripada perbelanjaan besar pelancong mewah dan massa.

st-regis-2

Pelaksanaan projek St Regis Langkawi ini merupakan sebahagian daripada strategi peningkatan taraf Langkawi untuk menjadi destinasi pilihan pelancong dari serata dunia. Ia juga menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan Kerajaan Malaysia, dan saya berharap akan ada lebih banyak lagi pelaburan di Malaysia dari Indonesia yang akan membawa kepada integrasi dan pengukuhan ekonomi kedua-kedua negara.

Di St Regis Langkawi ini juga, kita telah dapat melihat contoh kisah kejayaan hasil perancangan bersama oleh agensi-agensi Kerajaan berkaitan pelancongan. Saya gembira apabila dimaklumkan misalnya, bahawa 80 peratus daripada jumlah pekerja di sini adalah rakyat negeri Kedah sendiri.

Kerajaan jelas bahawa Langkawi berpotensi untuk muncul sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang terkemuka dengan keunikan dan kecantikannya yang terserlah dan menjadi tarikan kepada pelancong dari serata dunia. Oleh sebab itu, Kerajaan Persekutuan sentiasa dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah untuk mentransformasi dan membangunkan pulau ini.

st-regis-3

Bagi membuka lembaran baru, pelancongan di Langkawi memerlukan pembangunan yang merangkumi:-

– hab pelayaran bertaraf antarabangsa dan marina bertaraf dunia;

– lokasi buat konvensyen antarabangsa, sukan dan muzik;

– pusat beli-belah bebas cukai;

– serta lokasi kebudayaan indah beserta taman

Kita juga perlu mengambil inisiatif tambahan untuk mempromosi Langkawi termasuklah menambah jaringan penerbangan. Penerbangan terus pertama daripada Langkawi ke China telah dimulakan, dan kita akan berusaha untuk menambah destinasi-destinasi lain.

Insya-Allah, hasrat kita untuk menjadikan Langkawi sebagai Riviera of Asia, yang bukan sahaja mampu menandingi malah melangkaui Riviera-riviera terkemuka di Eropah, akan tercapai.