25 May, 2017

Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 & Pantai Eco Park


Hal ehwal pembangunan negara tidak hanya meliputi pembangunan makro seperti pembinaan menara-menara tinggi, projek MRT dan LRT, pembinaan sekolah, hospital dan perumahan. Kerajaan Barisan Nasional turut mengambil berat perkara pembangunan asas seperti hal ehwal pembetungan. Saban hari, sisa yang dihasilkan baik dari segi kumbahan domestik atau industri kian meningkat seiring dengan peningkatan bilangan kepadatan penduduk serta kemajuan negara. Sehubungan itu, amatlah penting bagi kerajaan untuk memastikan pengurusan sisa kumbahan kekal mampan dan mesra alam sekitar agar sumber air kita kekal terpelihara.

Alhamdulillah, hari ini saya telah merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 dan Pantai Eco Park yang bukan sahaja loji bawah tanah pertama di Malaysia mengguna pakai teknologi hijau bertaraf dunia tetapi juga merupakan loji terbesar di rantau Asia Pasifik. Pelan pembangunan loji ini sangat mengagumkan dan berinovasi tinggi. Insya-Allah, loji ini akan mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan sebanyak 1.42 juta penduduk setara (population equivalent) sehingga tahun 2035.

Sebelum loji bawah tanah ini dibina, kawasan ini mempunyai 6 kolam oksidasi (oxidation pond) di atas kawasan seluas 17 hektar yang telah dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada penghujung 1970-an. Selepas lebih 30 tahun, bilangan penduduk Kuala Lumpur telah bertambah dan kawasan penempatan penduduk juga dibina dengan pesat menghampiri kolam-kolam oksidasi ini. Maka Kerajaan Barisan Nasional mengambil langkah prihatin terhadap kesejahteraan rakyat setempat dan telah mengambil keputusan untuk menutup kolam-kolam tersebut dan digantikan dengan sebuah loji berteknologi tinggi di bawah tanah.

Ini sekaligus mengubah persepsi umum terhadap loji rawatan kumbahan daripada tempat yang kotor, berbau dan kurang menyenangkan kepada loji rawatan kumbahan yang moden dan bersih. Saya percaya ini menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional berpandangan jauh serta berinovasi demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Tambahan lagi, di bahagian atas loji ini pula digunakan sebagai kawasan rekreasi setempat yang kini dinamakan sebagai Pantai Eco Park. Apa yang lebih menarik, Pantai Eco Park seluas 12 hektar daripada keseluruhan kawasan loji ini telah dilengkapkan dengan kemudahan awam seperti pusat komuniti, trek joging, gelanggang futsal, padang bola dan gelanggang permainan lain. Bukan sahaja kualiti dan kebersihan alam sekitar terus terjamin, malah Loji Rawatan Kumbahan dan Pantai Eco Park ini memberi manfaat yang besar kepada penduduk sekitar dan berpotensi menjadi pusat pendidikan teknologi hijau. Insya-Allah.

Sukacita juga saya berkongsi bahawa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa memastikan agar rakyat tidak terbeban dengan kos operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam negara. Ramai tidak tahu bahawa kerajaan menampung sebahagian besar kos operasi dengan jumlah terkini sebanyak RM2.37 bilion. Ini bermakna subsidi sehingga 90% telah diberikan kepada rakyat Malaysia untuk perkhidmatan pembetungan. Setiap rumah teres hanya perlu membayar Indah Water Konsortium sebanyak RM8.00 sebulan dan RM2.00 bagi rumah PPR berbanding kos sebenar sebanyak RM20.00 sebulan untuk setiap rumah.

Apakah ini bukan satu bukti yang kukuh bahawa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengutamakan kebajikan dan peningkatan kualiti hidup rakyat?

Untuk makluman semua, loji ini juga mampu mengeluarkan produk sampingan daripada proses rawatan kumbahan di mana biopepejal, biofluen atau air sisa terawat dan biogas boleh diguna semula melalui pendekatan ‘Waste to Wealth’. Pada masa yang sama, biogas akan digunakan untuk  menjana tenaga elektrik bagi menyokong operasi loji ini selain dilengkapi dengan infrastruktur untuk tujuan menuai air hujan dan tenaga solar. Langkah ini adalah selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau di mana menjelang tahun 2030, sebanyak 50% biopepejal, 50% biogas dan satu per tiga bioefluen daripada loji rawatan kumbahan akan digunakan semula untuk kegunaan lain seperti menjana tenaga elektrik, komersial dan industri.

Melalui pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 ini, terbuktilah bahawa komitmen Kerajaan Barisan Nasional bukan hanya sekadar retorik dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Yang pastinya, adalah janji saya untuk memastikan Kerajaan akan teruskan segala usaha pembangunan dan transformasi negara secara holistik tanpa mengenal lelah demi rakyat Malaysia, demi Negaraku.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles