1 January, 2018

Malaysia Negara Islam Berpengaruh dan Prihatin


Alhamdulillah, sepanjang tahun 2017, Malaysia terus dirahmati oleh Allah SWT kekal makmur, aman dan harmoni, serta berterusan menjadi negara Islam contoh berpengaruh dengan suara yang kuat untuk membela Islam dan juga umatnya di serata dunia.

Satu isu yang hangat dibincangkan baru-baru ini adalah berkaitan tanah suci umat Islam Baitulmaqdis, dan usaha Amerika Syarikat mengiktirafnya sebagai ibu negara Israel. Malaysia menentang sekeras-kerasnya, tak mungkin sampai bila-bila akan kita bersetuju. Perkara ini saya tegaskan berulang kali, di Perhimpunan Agung UMNO, di Mesyuarat Tergempar OIC di IstanbulĀ  dan juga di Perhimpunan Solidariti; Selamatkan Baitulmaqdis.


Selain itu, satu lagi kisah yang benar-benar menyentuh hati umat Islam Malaysia adalah penderitaan dan penindasan yang dialami oleh saudara Rohingya kita di Myanmar.

Kita telah dengan lantang mengkritik dan membawa isu ini, bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga ke mata dunia.

Tambahan kepada itu, kita terus menghulurkan bantuan demi bantuan bagi meringankan penderitaan etnik Rohingya. Kita membuka pintu kita kepada segelintir daripada mereka untuk menumpang keamanan dan kestabilan yang ada di Malaysia, manakala untuk pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh dan Myanmar, kita terus menyalurkan bantuan, sebahagian daripadanya saya rangkumkan di sini.

Pada Februari, Malaysia menerusi NGO Yayasan Ikhlas telah menghantar sumbangan kewangan sebanyak RM172,500 melalui NGO Bangladesh untuk pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Kutupalong dan Balukhali di Bangladesh. Seterusnya pada September, Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelaras penghantaran sumbangan kemanusiaan bernilai RM4 juta berupa barangan dan peralatan juta diagihkan kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh.


12 tan bantuan makanan dan barang keperluan seperti lampin pakai buang, tuala, beras dan biskut untuk pelarian Rohingya di Bangladesh melalui misi bantuan kemanusiaan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Perdana Menteri dan NGO iM4U.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa NGO Islam dari Malaysia menghantar bantuan dalam bentuk barangan makanan dan ubat-ubatan khas kepada 140,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh yang bernilai sebanyak RM200,000.

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) kemudiannya telah membuka klinik bergerak di penempatan pelarian Rohingya di kem Thangkhali dan Kutupalong serta memberikan bantuan makanan.

Selain penghantaran bantuan kemanusiaan, Kerajaan juga telah menubuhkan Hospital Medan dengan kos RM3.5 juta, yang mempunyai sebanyak 50 buah katil dan boleh menempatkan seramai 150 pesakit pada satu-satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, X-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh. Hospital Medan ini dibina bagi membolehkan pelarian Rohingya mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan termasuk pemeriksaan bagi ibu yang mengandung.

Insya-Allah, kita akan terus membantu saudara se-Islam kita di Palestin dan di Myanmar sedaya upaya kita, tetapi untuk kita benar-benar menamatkan segala penderitaan dan penindasan yang mereka alami, semua umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia harus bersatu hati.

Semoga Allah menyatukan hati-hati kita dan berterusan mengurniakan rahmat keamanan dan kestabilan kepada bumi Malaysia, agar dapat kita terus menggunakan pengaruh kita sebagai negara Islam contoh, membela nasib umat Islam yang tertindas, di mana sahaja di dunia, Insya-Allah.