14 April, 2018

Pemandu Teksi Terus Dijaga Barisan Nasional


Saya dan Kerajaan telah meletakkan keutamaan tinggi kepada pengangkutan awam, kerana saya sedar bahawa untuk mentransformasikan negara menjadi maju, kita memerlukan tranformasi pengangkutan awam darat, dan ini termasuk juga industri teksi.

Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan saya tidak pernah putus daripada menghulurkan bantuan kepada pemandu teksi. Pada tahun 2012 sahaja kita melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya:

– Inisiatif subsidi tayar bernilai RM520 kepada semua pemandu teksi seluruh negara atau TR1Ma 1.0
– Insurans Peribadi untuk semua pemandu teksi dengan peruntukan RM1 juta
– Skim Bantuan Penukaran Teksi bernilai RM3,000 untuk penukaran kenderaan di bawah 10 tahun dan RM1,000 bagi kenderaan melepasi umur 10 tahun
– Pengecualian kos cukai jalan kepada pemandu teksi, di mana mereka cuma perlu membayar kos pengurusan RM2
– Peruntukan RM200 juta melalui BSN sehingga 2015 untuk pemandu teksi individu mendapatkan pinjaman pembelian kenderaan

Seterusnya pada tahun 2013, Kerajaan meneruskan program subsidi tayar TR1Ma 2.0 dengan peruntukan RM35 juta, dan TEKS1M dengan pengeluaran 1,000 lesen kepada pemandu individu yang layak tanpa perlu membuat bayaran pendahuluan untuk membeli Proton Exora.

Pada tahun 2015, Kerajaan menyemak semula tambang teksi dengan peningkatan 23 peratus, dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi atau TITP pada 2016, untuk menyelesaikan masalah struktur dalam industri teksi.

Salah satu masalah utama yang dikenal pasti adalah sistem pajakan yang tidak adil dan membawa banyak masalah, malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa ia seperti sistem penghambaan moden, ‘a modern-day slavery’.

Hasil daripada TITP ini, antara lain, dalam Bajet 2017 saya mengumumkan geran khas RM5,000 tunai untuk membeli kenderaan baharu kepada pemandu teksi dengan lesen individu yang telah tamat tempoh pajakan.

Pada masa sama, Kerajaan juga sedar bahawa kita perlu terus mengikuti perkembangan teknologi semasa agar tidak ketinggalan. Dalam erti kata lain, kita tidak ingin kekal sebagai analog dalam dunia yang sudah digital.

Dalam Bajet 2018, saya mengumumkan geran RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu kepada pemandu teksi yang ingin beralih kepada e-hailing, kemudiannya memastikan syarat operasi sama antara perkhidmatan teksi dan e-hailing untuk memastikan persaingan kekal sihat.

Tiada negara di dalam dunia sebegitu prihatin kepada nasib pemandu teksi seperti negara Malaysia di bawah Barisan Nasional, bukan sahaja menjaga kebajikan malah juga menyediakan pemandu teksi untuk turut sama berubah mengikut peredaran zaman dan perkembangan teknologi.

Semalam di MAEPS, Serdang, saya berpeluang bersama-sama dengan lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara untuk mengumumkan satu lagi bantuan istimewa buat pemandu teksi iaitu Kad Bantuan Teksi 1Malaysia, di mana kad ini mempunyai nilai RM800 yang boleh digunakan pemandu teksi untuk mengisi minyak atau NGV di stesen Petronas. Insya-Allah, inisiatif ini akan memanfaatkan 67,000 pemandu teksi seluruh Malaysia.

Seperkara lagi, jika sebelum ini pemandu teksi yang mendaftar di bawah SSM menghadapi masalah berkaitan permohanan BR1M , saya juga mengumumkan semalam bahawa Kerajaan akan memberikan kelayakan automatik BR1M kepada pemandu teksi yang layak.

Namun begitu, di sebalik kesemua usaha dan inisiatif berterusan daripada Kerajaan melalui agensi pelaksana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, saya maklum bahawa ada suara-suara sumbang dan pihak tidak bertanggungjawab yang tidak henti-henti menghasut para pemandu teksi bahawa Kerajaan tidak mempedulikan untung nasib mereka.

Lebih-lebih lagi kita sekarang berada dalam musim pilihan raya, mereka menyatakan bahawa Kad Bantuan Teksi 1Malaysia ini adalah untuk memancing undi, ada yang kata gula-gula, dedak dan sebagainya, kononnya hanya pada waktu pilihan raya Kerajaan muncul untuk membantu.

Ini tidak lain tidak bukan hanyalah perbuatan golongan yang agenda mereka cuma ingin memburukkan segala usaha Kerajaan selain bermotifkan politik sempit dan bersifat kebencian.

Seperti yang telah saya catatkan di atas dan boleh dibaca dengan lebih terperinci lagi dalam catatan blog saya yang terdahulu pelbagai usaha telah Kerajaan laksanakan, bukan sahaja dalam musim pilihan raya, tetapi hampir setiap tahun untuk terus memperkasa industri teksi.

Adililah segala usaha ini berdasarkan fakta dan angka yang terpampang dan tersedia, bukan dengan emosi yang dipengaruhi kata-kata nista dan dusta pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda peribadi dan menjual harapan palsu semata-mata.

Hanya Barisan Nasional sahaja yang prihatin, telah dan akan terus menjaga kebajikan pemandu teksi!